5 Cara Naikkan Berat Badan Anak Secara Sihat Dan Selamat


August 18, 2021

 Apabila Lisa baca di beberapa facebook group parenting, salah satu menjadi masalah utama di kalangan ibu bapa apabila mereka risau tentang berat badan anak yang tidak naik mengikut graf yang ditentukan oleh pihak kesihatan Malaysia. Lisa faham bahawa kenaikan berat badan di kalangan kanak-kanak sangat penting kerana ia melibatkan perkembangan fizikal dan mental mereka. Disebabkan itulah, ibu bapa perlu mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut dan pada masa yang sama dapat memberi galakan kepada anak-anak untuk menjadi lebih sihat dan aktif. 





Sebenarnya, Lisa pernah mengalami fasa anak pertama kami yang tidak naik beratnya. Perasaan Lisa ketika itu sama seperti ibu bapa yang mengalami situasi tersebut. Risau dan mencari jalan untuk naikkan beratnya. Sehinggalah Lisa mendengar nasihat daripada arwah ibu Lisa dan ada juga Lisa membaca buku serta minta pandangan daripada pakar kanak-kanak cara untuk naikkan berat badan anak secara sihat dan selamat. 


InsyaALLAH dengan perkongsian ini dapat membantu anda yang sedang berusaha untuk memberi galakan kepada anak-anak anda untuk menaikkan berat secara sihat. 


Sediakan Makanan Yang Tinggi Kalori 

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kanak-kanak perlukan 1000 kalori sehari bagi umur 3 tahun ke atas dan berikut adalah jadual kalori untuk kanak-kanak.



Sumber dari Myhealth(KKM)

Formula untuk naikkan berat badan adalah dengan menaikkan kalori makanan dan kita sebagai ibu bapa perlu tahu aktiviti atau keaktifan anak kita seharian. Mengapa ada anak yang makan banyak tetapi masih tidak naik berat badan? Kerana mereka terlalu aktif dan menyebabkan kalori tersebut dibakar dengan mudah menyebabkan berat badan mereka tidak naik. Sebab itulah, kita perlu sediakan makanan yang tinggi kalori iaitu mengandungi sumber protin, karbohidrat dan lemak(kuantiti sedikit) supaya anak-anak dapat naik berat badan secara sihat. 

Menurut KKM, makanan yang bagus dan kalori yang tinggi adalah seperti nasi, bijirin dan ubi-ubian kerana bukan hanya tinggi kalori malah kaya dengan fiber, mineral dan protin. 

Mengikut pengalaman Lisa sendiri, selepas Lisa masukkan makanan kalori tinggi seperti nasi (2 kali sehari) dan bijirin dalam makanan anak-anak, barulah nampak perubahan kenaikan berat badan mereka. Dan Lisa tambahkan dengan sayur seperti brokoli dan timun( 2 sayur favourite makanan anak Lisa) dalam menu mereka. 


Kekerapan Makan 

Jika sebelum ini, anak-anak diberi makan 3 kali sehari, mungkin anda boleh ubah kepada 5 kali sehari iaitu 3 kali menu utama( Sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan 2 kali adalah untuk snacking iaitu minum pagi sekitar 10 pagi dan minum petang pada 4-5 petang. Ada sesetengah kanak-kanak mereka tidak mampu untuk makan sekali banyak dalam satu hidangan tetapi apabila waktu makan itu dibahagikan kepada beberapa bahagian maka mereka lebih suka menikmatinya. Contohnya, Lisa akan beri anak-anak makan 4 hingga 5 kali sehari dan selalunya waktu petan(4-5 petang), mereka akan minum petang seperti buahan, donut, cereal , yogurt dan sebagainya. 

Dengan cara meningkatkan kekerapan waktu makan ini dapat menaikkan berat badan anak anda secara sihat dan selamat. 


Ibu Bapa Kreatif

Lisa masih ingat lagi waktu Fareeq bawa lunch box ke sekolah, apabila dia pulang dan Lisa tengok kandungan dalam makanan lunch box tersebut seperti tidak terusik. Hanya dua tiga kerat makanan sahaja yang dimakan tetapi selebihnya dibiarkan sahaja. Sebab itulah Fareeq antara kategori murid yang kurus di kalangan kawan-kawannya di sekolah. Lisa dapat idea, apa kata hias dan cantikkan lunch box dia dan Lisa tingalkan nota kecil apabila dia buka lunch box tersebut. Antara ayat yang Lisa tulis dalam lunch box dia adalah 'You are my super boy' , 'Eat Me please'. 

Kebiasaannya Lisa akan potong roti sandwich bentuk 3 segi tetapi kali ini, Lisa buat pelbagai bentuk menggunakan acuan yang dijual di kedai mahupun di e-store. Dan Lisa lihat Fareeq boleh habiskan kesemua makanan dalam lunch box tersebut. Ha! begitulah anak-anak kita ni. Kadang-kadang dengan ubah sedikit gaya kreatif ibu bapa ni, anak-anak akan boleh naik berat badan dengan suka makan makanan yang kita sediakan. 


Ada juga yang Lisa baca, ada ibu bapa suka buat aiskrim buah dengan menggunakan buah dan sayuran asli. Anak-anak mereka sangat sukannya. Dengan cara itu juga dapat menarik minat anak untuk makan buah dan sayur.

Fahami Kesukaan Makanan Anak


Ada ibu bapa berungut mereka sudah masak pelbagai jenis makanan tetapi anak susah nak makan apa yang mereka masak. Dan Lisa tidak terkecuali pernah lalui situasi itu dan Lisa mengadu kepada arwah mak berkenaan perkara tersebut. Nasihat arwah mak Lisa adalah kita perlu tahu apa kesukaan makanan anak dan selalulah masak makanan tersebut supaya tidak berlakunya pembaziran. Sebagai contoh anak Lisa suka makanan soup base, maka Lisa perlu masak seperti bihun sup, mee sup, nasi ayam beserta sup, sup sayur, sup daging dan sebagainya. Sejak itu juga Lisa nampak anak-anak berselera makan kerana mereka sangat suka jenis makanan seperti itu. 

Dengan kata lainnya, ibu bapa perlu tahu apa makanan kegemaran anak. Jika anak anda suka ayam, maka anda perlu bijak merancang makanan yang asasnya adalah ayam. Sebagai contoh, hari ini menunya adalah ayam goreng, esoknya ayam masak kicap, lusa adalah ayam masak paprik dan seterusnya. Lain anak lain ragamnya. Sebagai ibu bapa kita perlu fahami mereka dan berusaha untuk buat yang terbaik. InsyaALLAh, Allah bantu dalam perjalanan membesarkan mereka menjadi anak yang sihat.



Variasikan Makanan 


Cara atau tips nombor 4 adalah bagi kategori anak yang hanya mahu makan apa makanan kesukaan mereka sahaja tetapi ada juga kanak-kanak yang suka pelbagai menu. Maka ibu bapa perlu mula merancang bagaimana untuk variasika menu anak anda supaya mereka tidak sabar untuk menanti makanan yang bakal dihidangkan. Mungkin anda boleh merancang antara menu yang mudah disediakan tetapi dapat divariasikan cara hidangannya seperti chinese food( soup base), kemudian sushi, seterusnya nasi goreng indonesia, western food dan sebagainya. 

Tidak dinafikan ada sesetengah kanak-kanak memang suka pelbagai menu disediakan. Ada anak sahabat Lisa, mereka suka pelbagai menu dan Lisa sangat tertarik dengan kesungguhan ibu mereka menyediakan makanan seperti itu. Bila Lisa berbual dengan sahabat ini, beliau kata tidak ada perkara yang lebih menggembirakan apabila kita masak pelbagai jenis makanan dan anak suka makan sampai licin. Dan Lisa lihat anak-anak beliau sangat aktif dan sihat serta berat badan sesuai dengan peringkat umur mereka. 

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat memberi sedikit sebanyak idea dan tips untuk ibu bapa di luar sana yang sedang menghadapi masalah anak yang kurang berat dan cuba mencari solusi bagaimana cara nak naikkan berat badan anak secara sihat dan selamat.


Disclaimer: Lisa bukanlah pakar pemakanan kanak-kanak, apa yang Lisa kongsikan adalah melalui pengalaman sendiri yang dapat nasihat daripada doktor serta orang sekeliling. Anda perlu meminta nasihat daripada mereka yang berkelayakan. 


No comments:

Powered by Blogger.