Penjagaan Diri Ketika Positif Covid Di Rumah


February 22, 2022

Apabila kami sekeluarga terkena positif covid, maka barulah Lisa belajar tentang penjagaan diri ketika positif covid di rumah.  Sebenarnya Lisa tidak pernah terfikir satu hari nanti satu keluarga kami akan kena Covid. Sebelum ni hanya dengar cerita daripada keluarga terdekat dan kawan-kawan sahaja.



Bermula dengan anak kedua dan ketiga Lisa, bila mereka ada simptom muntah, cirit-birit dan demam yang tinggi. Mula-mula kami ingat mereka ni disebabkan keracunan makanan, tapi rupanya bila kami buat ujian ART Kit, bacaan menunjukkan mereka ni positif Covid. 

 




Allah sahaja yang tahu betapa risau, sedih dan takut bila tahu perkara tersebut. Dan Lisa terus maklumkan perkara ini kepada keluarga. Kakak Lisa pesan, bila tahu positif covid, jangan sesekali panic atau fikir perkara yang bukan-bukan. Banyakkan berdoa kepada ALLAH supaya diringankan ujian ini. 

Ketika itu, memang Lisa rasa agak down dan pada masa yang sama sangat penat, sebabnya kedua-dua anak Lisa masih kecil dan mereka muntah di merata tempat dalam rumah ni. Atas katil, atas sofa, di dapur , di bilik dan di ruang tamu. Dan sekali sekala akan bocor cirit mereka ni. Allahuakbar memang rasa penat sangat. 

Bila 3 hari mengadap mereka yang sedang positif covid, maka Lisa pun berjangkit sekali walaupun dah berusaha untuk elak daripada dijangkiti virus tersebut. Tetapi jika nak ikutkan, peluang untuk dijangkiti memang agak tinggi sebab Lisa tidur bersama mereka dan segala urusan keperluan asas mereka, Lisa uruskan. 

Redha. 

Ya, itulah perkara yang perlu kita lakukan ketika diuji. 

Berikut adalah tanda-tanda kami positif covid:

  • Demam panas
  • Cirit birit
  • Muntah
  • Sengal badan
  • Batuk berkahak
  • Pening Kepala
  • Tiada selera makan

Selepas Lisa dijangkiti positif covid, diikuti dengan anak sulung Lisa, Fareeq dan akhir sekali suami Lisa. Kesemuanya demam panas pada hari pertama, dan alhamdulillah pada hari ke2 dan seterusnya kembali pulih cumanya ada beberapa kesan ketika terkena covid ni, contohnya Fareeq, mata dia sangat merah dan Lisa serta suami pula batuk berkahak tanpa henti. Selepas hari ke6 barulah semuanya beransur pulih seperti sedia kala. Cuma kadang-kadang sahaja terasa nafas berat.

Baiklah, Lisa ingin berkongsi penjagaan diri ketika positif covid. Diharapkan dengan perkongsian ini dapat memberi panduan sedikit sebanyak buat anda yang sedang mengalaminya.


1. Sentiasa Menjaga Kebersihan Diri, Keluarga dan Tempat tinggal.

Walaupun kita sedang dijangkiti virus covid tetapi, kita perlu menjaga kebersihan diri dan keluarga termasuklah membasuh tangan sebelum makan, mop lantai (boleh gunakan Dettol serbaguna ini) dengan anti-bakteria, jika ada anak-anak kecil muntah atau cirit mereka terkena lantai atau cadar mahupun sofa, segera bersihkannya dengan dettol, dan pastikan pakaian mereka yang sedang positif covid di asingkan ketika basuh baju. 


2. Segera Maklumkan Kepada Pihak Kementerian Kesihatan

Apabila kami tahu sahaja, anak-anak kami terkena positif covid, maka Lisa dan suami terus maklumkan pihak kesihatan untuk mengambil tindakan selanjutnya. Di Singapura ini, kami diminta untuk pergi ke klinik yang berdekatan untuk memastikan bahawa keputusan memang menunjukkan positif dan kemudian, pihak klinik maklumkan kepada Kementerian kesihatan untuk memberi nasihata seterusnya. Kami dapat ubat demam, probiotik(sebab anak Lisa 2 orang ada diarrhea), ubat sakit tekak dan ubat batuk. Doktor pesan, makan ubat mengikut yang telah diberitahu olehnya.

Anda boleh lihat carta aliran daripada Kementerian Kesihatan ini, apa nak buat jika anda positif Covid. Boleh rujuk di sini. 

3. Jangan Keluar Rumah atau Bilik

Jika ada keluarga yang sedang dijangkiti positif covid, pastikan mereka ini duduk di bilik asing. Supaya virus ini tidak merebak kepada ahli keluarga yang lain. Untuk makanan, pastikan bekas makanan jenis pakai buang sahaja, untuk mengelakkan daripada terkena virus tersebut di bekas makanan. Jika anak kecil anda yang dijangkiti positif covid, dan tidak boleh mengelak untuk menjaga mereka, maka pastikan anda lakukan penjagaan diri seperti di no.1 di atas. Dan jangan sesekali keluar rumah ketika anda sedang positif, jika terpaksa keluar untuk pergi ke pusat kuarantin mahupun hospital, pastikan anda memakai mask dan sentiasa sanitize tangan. 


4. Minum Air Banyak dan Pastikan Makan Makanan Yang berkhasiat

Sering diingatkan oleh doktor-doktor di Malaysia supaya kita yang tidak terkena covid mahupun yang sedang positif covid, perlu minum air secukupnya. Jangan kurang minum air, sebab ia membantu dalam perjalanan oksigen dalam darah. Serta mengelakkan dihidrasi. Pada masa yang sama, makan makanan berkhasiat dan cukup nutrisi untuk badan. Bukan makan makanan yang tinggi lemak dan manis.


5. Pastikan Anda Memantau Suhu Badan dan Tahap Oksigen

Jika anda ada gejala demam panas dan sukar bernafas, pastikan 2 alat ini wajib ada di rumah iaitu termometer dan oximeter untuk memantau suhu badan serta tahap oksigen dalam badan anda. Jika ia paras membimbangkan maka, anda perlu segera berjumpa dengan doktor dan dapatkan rawatan segera. 

Dapatkan Termometer di sini

Dapakan Oximeter di sini


6. Amalan Tambahan Secara Tradisional

Mungkin ada setengah pihak tidak bersetuju dengan kaedah tradisional tetapi bagi pendapat Lisa sendiri, tidak salah untuk kita berusaha dengan pelbagai cara kerana yang menyembuhkan adalah Allah, mungkin dengan ikhtiar kita ini, Allah kurniakan kesembuhan buat kita semua. 

Antara amalan yang boleh anda lakukan adalah, minum air kelapa, minum madu, air lemon, jus oren dan boleh juga untuk minum air rendaman cengkih dan lemon. InsyaALLAH banyak khasiatnya bila kita amalkan makanan semula jadi ini. 

Lisa dan keluarga juga mengamalkan amalan ini. Dan pada masa yang sama ikut kata doktor supaya makan ubat yang diberikan mengikut waktu yang telah ditetapkan. 

Alhamdulillah, pada hari keenam dan seterusnya, kesihatan kami kembali pulih seperti biasa dan hanya tinggal batuk berkahak sahaja. Sekarang ini kami masih dalam proses penyembuhan. Jika ditanya kepada doktor, mereka berkata untuk kembali pulih sepenuhnya kebiasaannya ia mengambil masa 2 hingga 3 bulan bergantung kepada tahap keimunan sistem badan kita. 

InsyaALLAH,Lisa doa semoga anda yang sedang membaca artikel ini diberi kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan anda. Jangan sesekali fikir negatif, fikir positif sahaja untuk mengelakkan anda mengalami depresi dan anxiety. 


7 comments:

  1. Tips yang bagus. Tq share. Moga sehat selalu bersama keluarga

    ReplyDelete
  2. Mmg kena tahu ni tips. Perlu sangat. Boleh share dgn kawan juga

    ReplyDelete
  3. Skrg nie kena jaga diri baik2.. Amalkan seperti tips d'atas.. Tp kalau masi juga kena, mmg takdir kita tetap akan kena kn.. Yg penting dah usaha utk mencegah

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah semua dah berlalu dan tips yg dikongsi sangat baik utk dijadikan panduan utk semua.
    Risau sgt dgn Covid Ni, tapi Kita dah sehabis baik mencuba elak n jaga diri. Kalau terkena, kena redha dan think positive.

    ReplyDelete
  5. kalau kena covid ni,time tu hanya mampu tawakal je la sebab kita semua dah cuba sehabis baik,apa-apa pun semoga Lisa and family sihat belaka,jaga kesihatan betul-betul

    ReplyDelete
  6. Terima kasih info yg bagus, kena betul betul jaga ketika covid ni, bahaya kalau x jaga

    ReplyDelete
  7. Penting sangat amalkan tips yang lisa share ni jika terkena covid especially perhatikan tahap kesihatan diri sendiri, samada makin merosot atau semakin baik. Apa2 pun Alhamdulillah Lisa sekeluarga dah bebas covid.

    ReplyDelete

Powered by Blogger.