Cara Mudah Mengajar Anak Solat


June 11, 2020
Cara Mudah Mengajar Anak Solat | Terus terang Lisa katakan bahawa Lisa menulis entry post ini bukanlah nak kata Lisa ni baik sangat atau ibu yang bagus sehingga boleh menulis topik ini. Tapi sebenarnya Lisa hanya berkongsi apa yang kami suami isteri lakukan dan kami nampak sedikit demi sedikit perubahan anak sulung kami, Fareeq dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim iaitu solat kepada ALLAH, Tuhan kita yang satu. Semasa proses mengajar anak kami solat, Lisa ada membaca beberapa tips daripada bahan bacaan sumber google, buku serta ada juga kami tanyakan kepada saudara terdekat. Maklumlah ini anak pertama kami maka, ia sebagai pembelajaran baru juga buat kami suami isteri untuk menuntut ilmu asas agama. Disebabkan Lisa dan suami tiada background mengajar mahupun pendidikan maka kami akan ingat kembali bagaimana ibu bapa kami mengajar kami solat kerana ibu bapa kami bukanlah guru mahupun lecturer kecuali mak mertua Lisa memang guru agama di sekolah agama. Cara didikan suami Lisa belajar solat berbeza dengan cara ibu bapa Lisa mengajar solat. Maka kami cuba bertukar pandangan supaya mendapat kata sepakat dan boleh praktikkan ia kepada anak-anak kami nanti.

Muslim kids solat

Bermula Daripada Rumah


Apabila Lisa sudah mempunyai 2 orang anak, Lisa mula faham bahawa semua didikan ianya bermula daripada rumah. Termasuklah adab, akhlak, ilmu agama, ilmu kendiri dan sebagainya. Anak-anak ini melihat apa yang ibu bapa buat sejak mereka kecil lagi. They are good 'copy paste' person dalam melihat setiap tingkah laku ibu bapanya. Sebagai ibu bapa kita haruslah tunjuk tauladan dan mempunyai akhlak yang baik. Itu bukanlah bermaksud kita perlu menjadi ibu bapa yang sempurna tetapi kita cuba mengubah diri sendiri untuk ke arah kebaikan. Setiap usaha untuk menjadi ibu bapa yang baik, ALLAH akan melihat dan memberi pahala yang setimpal. Kami juga berusaha untuk ke arah itu walaupun kadang-kadang tahap iman ini naik dan turun. 

Ibu Bapa Contoh Terbaik Buat Si Anak-anak

Sebelum kita ingin mengajar anak solat, sebelum itu ibu bapa perlu tanya pada diri sendiri dahulu adakah aku solat cukup 5 waktu, adakah bacaan aku betul dan tepat serta adakah aku konsisten melakukannya. Jika jawapan ibu bapa ya, alhamdulillah anda sudah berada di landasan yang betul tetapi jika jawapan anda tidak jangan risau anda tidak terlambat untuk belajar bersama-sama dengan anak dalam mengerjakan rukun islam yang kedua ini. Tak perlu rasa malu atau ego untuk mempelajari ilmu agama ini. Sama-sama kita perbetulkan dari masa ke semasa. Lisa dan suami juga banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki dan cuba berusaha untuk memperbaikinya. Sama-sama kami belajar ilmu agama ini. Tiada insan yang sempurna dalam dunia ini melainkan sifat sempurna tu hanyalah milik ALLAH sahaja. 

Apabila anak-anak melihat ibu bapanya selalu solat, secara tidak langsung mereka juga akan melakukan perkara yang sama. Percaya atau tidak kanak-kanak seawal 11 bulan sudah pandai meniru apa yang kita lakukan. Lisa masih ingat lagi ketika anak Lisa yang kedua, Qaisarah, sedang kami solat berjemaah tiba-tiba dia datang sebelah Lisa dan sujud bersama-sama walaupun kedudukan sujudnya seperti meniarap tetapi itu sudah menunjukkan tanda-tanda awal yang kanak-kanak ini suka meniru apa yang ibu bapanya buat. 

Lucu juga bila melihat mereka cuba ikut apa yang kita lakukan. Anggaplah itu proses pembelajaran mereka pada peringkat awal. Proses ini akan berlaku sehingga umur mereka 3 hingga 4 tahun. Tidak dinafikan ada sesetngah kanak-kanak mereka sangat awal untuk pandai solat tetapi tidak kurang juga ada kanak-kanak yang umurnya 6 tahun ke atas baru tahu tentang melaksanakan solat.



Kenalkan Mereka Azan 

Jika rumah anda dekat dengan masjid mahupun surau, sudah tentu anda rasa sangat bertuah kerana itu merupakan permulaan bagi perkenalkan anak tentang solat di mana selepas azan berkumandang kita sebagai muslim diwajibkan untuk menunaikan solat. Tetapi bagi mereka yang duduk jauh dari masjid atau surau, anda boleh pasangkan TV yang ada azan berkumandang atau boleh pasang radio. Apabila kanak-kanak ini biasa mendengar azan dan sudah mula faham bahawa selepas azan perlu menunaikan solat maka cara ini lebih mudah untuk ibu bapa mengajar anak untuk solat. 

Waktu anak Lisa umur 5 tahun, Lisa mula ajarkan dia untuk azan, sebabnya rumah kami agak jauh dari masjid dan tidak dengar azan berkumandang maka sebagai alternatif lisa pasangkan satu apps ni iaitu Muslim Pro untuk azan berkumandang. Kemudian, setelah Lisa minta anak mengambil wuduk beliau pula perlu azan sebagai sesi pembelajaran. Selalunya suami Lisa akan balik malam dan sebab itulah Lisa yang mengambil alih tugas untuk mengajarnya solat. Tetapi bila suami pulang awal, dia pula akan mengajar anak untuk azan beserta laungan cara yang betul. 

Mengajar Anak Solat Secara Berperingkat 

Mungkin ada ibu bapa yang suka mengajar anak untuk solat secara terus menerus tetapi cara Lisa dan suami kami lebih selesa mengajar anak untuk solat secara berperingkat supaya mereka mudah faham dan mudah mengikutinya langkah demi langkah. Apa yang dimaksudkan cara mengajar anak solat berpringkat ini adalah dengan mengajak anak solat mengikut beberapa waktu solat. Dalam Islam ada 5 kali waktu solat iaitu subuh, zuhur, asar,maghrib dan isya. Pada peringkat umur anak lisa 4 tahun lebih, Lisa hanya suruh dia solat waktu maghrib sahaja. Pada waktu solat yang lain Lisa tak suruh dia ikut kami solat tetapi jika dia sendiri mahu, itu sudah bersyukur. Tetapi yang penting waktu solat maghrib dia perlu ikut kami. Setelah beberapa bulan dia sudah biasa dengan solat maghrib, barulah Lisa tambah dengan solat isya, kemudian solat zuhur seterusnya solat asar dan subuh. Cumanya solat Subuh agak mencabar juga untuk ajak dia solat kerana waktu Subuh di Dubai sangat awal lebih kurang 3.15 pagi. Kadang-kadang kasihan juga melihat dia terpinga-pinga bangun seawal 3 pagi untuk solat. Sebab itu kami lebih suka lakukan secara berperingkat supaya dia sendiri tak terkejut dengan perlaksanaan solat ini.

Ibu Bapa Membaca Nada Yang Kuat Atau Mudah Didengari Oleh Anak

Salah satu cara yang mudah untuk mengajar anak solat adalah dengan mengajaknya solat bersama dan ibu atau bapa yang mengimamkan solat haruslah membaca bacaan dalam solat dalam nada yang kuat atau mudah didengari anak. Cara ajar anak solat ini sebenarnya Lisa dan suami praktikkannya sendiri kepada anak-anak kami. Mula-mula memang nampak mereka bermain dalam solat, kemudian selepas beberapa bulan Lisa tak sangka Fareeq boleh membaca ayat dalam solat untuk setiap perlakuan dalam 70% dia boleh membacanya sendiri walaupun ada sedikit salah dari segi sebutan mahupun pelat dia tetapi ayat-ayat tersebut kita ada dengar dan kena dengan bacaan dalam solat tersebut.

Oleh yang demikian, selepas habis solat Lisa akan tanya balik bacaan dalam sujud bagaimana sebutannya, bacaan dalam duduk antara dua sujud bacaannya macam mana dan seterusnya. Jika ada sebutan yang salah Lisa dan suami akan cuba perbetulkannya dan jika sebutan yang dia baca adalah betul kami akan mengucapkan kepada tahniah dan teruskan mengingat untuk ayat-ayat yang seterusnya. 

Percayalah wahai ibu bapa, walaupun pada awalnya kita nampak usaha kita untuk mengajar anak-anak ini masih tiada hasil tetapi berilah mereka masa untuk memahami dan mempelajarinya kerana fitra anak-anak kecil mereka belajar secara tidak langsung bukannya di atas meja yang ada buku semata-mata. 




Beri Mereka Info Dan Kefahaman Yang Betul 


Fareeq dibesarkan di luar negara iaitu kami sudah berhijrah ke negara Timur Tengah selama 4 tahun, maka dia juga mula bersekolah di Prasekolah Peringkat Pembelajaran Amerika. Bermaksud keliling rakan-rakan Fareeq adalah mereka yang kebanyakannya bukan orang Islam dan budaya mereka juga berbeza. Ya memang betul kami berhijrah ke negara arab dan sudah tentu dalam fikiran anda bukankah negara arab lebih bagus ajaran agamanya tetapi di negara UAE, kebanyakan penduduknya adalah terdiri daripada orang luar dan bukan beragama islam cumanya mereka masih menghormati tuan tanah. Sebab itulah, bila Lisa ajarkan Fareeq solat, Fareeq akan bertanya ' Kenapa kita solat mama, sedangkan my teacher tak solat. Tak pakai hijab macam mama' Banyak lagi soalan-soalan ingin tahu yang ditujukan kepada Lisa tentang bab solat, bab agama serta lain-lain lagi. 

Sejak itu Lisa mula fahamkan Fareeq mengapa kita sebagai muslim perlu solat, mengapa penganut agama lain juga sembahyang tapi dengan cara berbeza, Tuhan kita siapa dan macam-macam lagi yang Lisa cuba terangkan kepada dia. Kanak-kanak suka melakukan sesuatu perkara dengan ada sebabnya. Kerana itulah pelbagai persoalan yang mereka ajukan kepada kita. Sebagai ibu bapa cuba kita fahamkan mereka dan bukan mengatakan ' Ala solat je, jangan banyak tanyalah'. 

Apabila itu adalah jawapan kita kepada persoalan anak-anak, kemungkinan mereka tidak mudah untuk melakukan solat kerana jawapan yang mereka mahukan masih tidak cukup jelas untuk difahami. 

Hadiahkan mereka Sesuatu Yang Istimewa 

Kanak-kanak sukakan hadiah yang istimewa dan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara. Sebab itulah Lisa hadiahkan Fareeq sejadah yang comel. Dan Lisa katakan kepadanya sejadah ini khas untuk Fareeq solat, bukan orang lain punya. Ini membuatkan kanak-kanak berasa dirinya sangat istimewa dan lebih bersemangat untuk melakukan solat. Jika anda anak perempuan, anda boleh hadihkan mereka sejadah dan telekung yang cantik dan comel supaya mereka juga bersemangat untuk melakukan solat. 




Muslim Kids solat

Anak sulung Lisa ketika mengajarkannya bacaan ketika berdoa



Alhamdulillah, itulah sedikit sebanyak yang dapat Lisa kongsikan bagaimana Lisa dan suami mengajar anak solat secara mudah dan berperingkat. Kuncinya dalam mengajar anak solat adalah dengan sabar dan berikanlah mereka masa untuk memahami dan mempelajarinya. Janganlah hanya kerana ingin anak anda solat cepat di awal usia mereka, membuatkan mereka melakukannya dalam keterpaksaan tanpa memhami apa yang mereka lakukannya. 

InsyaALLAH lisa pasti anda sebagai ibu bapa mampu melakukannya. Kami juga masih dalam proses mendidik anak-anak kami ke arah kebaikan dan pada masa yang sama memperbaiki diri ini yang banyak kelemahan. Semoga ALLAH lihat apa yang kita usahakan ini dan ada terselit pahala kelak di akhirat. 

Jangan lupa kongsikan 

No comments:

Powered by Blogger.