Rahsia Sambal Nasi Lemak Sedap Dan Berkilat Cantik


June 08, 2020
Sudah banyak kali Lisa buat nasi lemak dan banyak kali itu juga hati ini rasa tak puas dengan rasa dan rupa sambal nasi lemak. Maklumlah jika di Malaysia Lisa selalu beli nasi lemak tepi jalan, rasa nasi lemak makcik ni sedap dan rupanya pun cantik berkilat. Nak tanya rahsia dan tips macam segan pula sebab kita tak tahu kan ada setengah mentaliti manusia, mereka tidak sukakan berkongsi cara masakan mereka mungkin itu rahsia keturunan mereka. Bukan Lisa bersangka buruk tapi sebab pernah tanya dan jawapannya hanyalah "Campak-campak je dik", membuatkan Lisa rasa baiklah tak pe jika tidak mahu berkongsi, kita faham situasi mereka. Dan mungkin benar juga seni campak mencampak ni hanya 'certain orang sahaja boleh melakukannya dan tiba-tiba sahaja masakan jadi sedap. Tapi ada juga yang kita perlu gunakan teknik yang betul untuk menghasilkan sambal nasi lemak sedap dan berkilat cantik rupanya.




Maka bermulalah sesi 'try, error and learn'. Bukan mudah ye sepanjang proses ini berlaku. Lisa ada juga google dan pernah mencuba tips yang diberikan oleh beberapa blogger masakan terkenal tapi tak tahu kenapa tak berapa nak menjadi sangat. Lisa simpulkan mungkin cili negara Dubai ni berbeza kot sebab itulah rasa dan rupanya tidak sama dengan mereka yang berkongsi di website. 

Bagi anda yang mungkin sudah cuba banyak kali untuk menghasilkan sambal nasi lemak yang sedap tetapi masih tidak berapa menjadi sangat, perkongsian ini Lisa tulis untuk rujukan anda dan Lisa tidak menjanjikan bahawa ia kena dengan tekak anda. Tak salah untuk mencubanya. 

Rahsia Sambal Nasi Lemak Sedap Dan Berkilat Cantik Rupanya




1. Kisarkan Bawang Merah, Bawang Putih, Halia Dan Cili Kering Bersama

Lisa pernah beberapa kali buat sambal nasi lemak supaya jadi sedap dengan mengasingkan bahan kisar iaitu bawang merah, bawang putih dan halia di kisar bersama dan cili kering dikisar asing kerana selalunya Lisa memang biasa buat stok cili kering kisar. Jadinya bila nak masak baru Lisa akan ambil stok cili kisar ini  daripada peti ais. Waktu dalam kuali baru Lisa masukkan sekali. Tapi kali ini Lisa cuba kisar kan semuanya bersama dan masak juga bersama. Bila dibuat seperti itu, naik sangat bau harumnya walaupun ia mengambil masa yang agak lama untuk dikeringkan. 


2. Masak Lama


Betullah orang tua-tua kata, lagi lama kita masak sesuatu masakan tersebut lagi sedap rasanya. Sama seperti masak kuah laksa, nasi goreng dan sebaginya. Jika ia masak lama atas kuali dan api dibiarkan sedehana, maka rasanya sangat berbeza dengan masakan yang dimasak sekejap sahaja. Lisa cuba aplikasikan cara ini dengan mencuba masak sambal nasi lemak sedap dan Lisa memang tak sangka rasanya sangatlah berbeza daripada sebelum ini yang Lisa pernah masak. Kalau orang tanya ia mengambil masa berapa lama? Lisa boleh katakan lebih setengah jam juga nak masak sambal nasi lemak yang sedap ni. Jangan ditanya apa kaitan masak lebih lama boleh menghasilkan rasa yang sedap, sebab Lisa tiada jawapan itu. Lisa hanya ikut petua orang tua sahaja. Tapi mungkin boleh dikatakan bahawa dengan masak yang lama membuatkan semua bahan sebati masak dengan elok sebab itu juga rasanya sedap. 

3. Menggunakan Minyak Yang Banyak

Salah satu rahsia sambal nasi lemak sedap dan berkilat cantik adalah dengan menggunakan minyak yang banyak. Apa-apa masakan pun, jika kita menggunakan minyak yang banyak memang boleh menghasilkan masakan yang sedap dan rupa yang cantik sebagai contoh kuah kacang. Jika anda lihat di kedai-kedai makan mereka menggunakan minyak yang banyak dan rasa masakan mereka juga sangat sedap. Tetapi Lisa dan suami sebenarnya bukan jenis suka masak menggunakan minyak yang banyak demi menjaga kesihatan tetapi bila masuk baba sambal nasi lemak nak bagi sedap memang kami agak kalah sedikit sebab itu antara rahsia utama supaya sambal nasi lemak ni jadi semakin sedap dan rupanya pun cantik berkilat. Lagipun Lisa masak nasi lemak hanya 2 minggu sekali sahaja , itu pun kalau betul-betul teringin cumanya anak Lisa yang sulung memang kegemaran dia nasi lemak. Kadang-kadang kena juga buat seminggu sekali untuk masak masakan kegemaran dia. 


4. Letakkan Gula Merah dan Brown Sugar

Ha rahsia yang seterusnya supaya nasi lemak jadi sedap dan warna agak merah kegelapan sedikit adalah dengan meletakkan gula merah dan brown sugar. Diingatkan bukannya gula putih. Lisa sudah pernah cuba meletakkan gula putih tetapi hasilnya warna sambal nasi lemak itu tidak gelap dan rasanya pun biasa sahaja. Tidaklah sesedap apabila kita letak gula merah dan brwon sugar ini. Lisa pernah kenal dengan seorang kakak ni, beliau kata rahsia nak bagi kebanyakan makanan supaya sedap adalah menggunakan gula merah atau brown sugar. Mungkin benar juga kata-kata kakak ni.



5. Pastikan Bahan Kisar Betul-betul Cukup Masak Dan Berbau Harum

Dan yang terakhir sekali, pastikan bahan kisar ni betul-betul cukup masak dan berbau harum sehinggakan anda sendiri rasa suka dengan bauan tersebut. Jika bahan kisar ini tidak betul-betul cukup masak, anda akan rasa sambal nasi lemak sedikit maung atau masih rasa bawang yang tak masak lagi. Langkah ini sebenarnya sangat penting dan jangan sesekali tinggalkan jika anda mahu menghasilkan sabal nasi lemak yang sedap. 

5 Rahsia sambal nasi lemak sedap dan berkilat yang lisa kongsikan di atas adalah hasil percubaan Lisa sendiri, dan Lisa rasa berbesar hati untuk berkongsi pula rahsia tambahan untuk masak sambal nasi lemak jadi lebih sedap dan cantik hasil daripada kesudian perkongsian sahabat-sahabat Facebook Lisa yang sangat baik hati. Mungkin anda boleh cuba dengan resepi tambahan di bawah. 

  • Letakkan Sedikit Santan(1-2 Sudu Besar) dalam sambal supaya rasa nasi lemak lagi padu- Saudari Mekca
  • Letak pandan dalam sambal nasi lemak - Saudari Hayati
  • Mula-mula masak, cairkan gula dengan minyak supaya menghasilkan caramel. Selepas itu, barulah masukkan bawang putih, bawang merah, belacan. Kemudian masukkan pula cili boh. Tumis sehingga bertukar warna dan berbau harum. -Saudari Adawiyah
  • Tumis dengan daun pandaun- Saudari Puteri
  • Tumis cili terlebih dahulu kemudian gula melaka. -Saudari Emmy
  • Tumis dengan 1 sudu budu. -Saudari Zura

Terima kasih kerana sudi membaca perkongsian Lisa mengenai menghasilkan sambal nasi lemak sedap dan berkilat cantik. Jika anda rasakan perkongsian ini sangat bermanfaat jangan lupa tekan button SHARE di bawah supaya lebih ramai lagi yang pandai masak nasi lemak sedap.

No comments:

Powered by Blogger.