Panduan Lengkap Dan Tips Merawat Bayi Yang Kena Jaundis Atau Kuning


June 14, 2020
Panduan Lengkap Dan Tips Merawat Bayi Yang Kena Jaundis Atau Kuning | Masih segar dalam ingatan Lisa pada tahun lepas ketika anak kedua Lisa, Qaisarah Yusra telah mengalami masalah hampir kepada prolonged joundice. Lisa diberitahu oleh jururawat yang datang ke rumah pada hari kedua Sarah dilahirkan tentang dia kemungkinan mempunyai jaundis kerana sudah mula nampak warna kuning pada kulitnya dan pada biji mata putihnya. Disebabkan itu, kami diminta untuk ke klinik kesihatan untuk diambil bacaan kuning bayi. Setelah beberapa minit kemudian, didapati bacaan kuning bayi Sarah agak tinggi memandangkan Sarah adalah prematured(bayi pramatang). Kerana bacaan kuning bagi bayi pramatang adalah berbeza dengan bacaan kuning bagi bayi yang lahir pada cukup umur. Maka bermulalah perjalanan kami di mana setiap hari kami diminta untuk ulang alik ke Klinik Kesihatan untuk diambil bacaan kuningnya. 


Ketika ini bayi Sarah diletakkan di bawah rawatan fototerapi


Masa itu, boleh dikatakan setiap hari Lisa menangis sebab keadaan fizikal dan emosi masih penat ketika melahirkan Sarah dan pihak kesihatan pula minta kami untuk pergi ke Klinik Kesihatan setiap hari. Lebih menyedihkan lagi apabila pada hari ke 9 Sarah dilahirkan, pihak hospital meminta Sarah dimasukkan ke dalam wad kanak-kanak untuk dapatkan rawatan fototerapi. Pada masa itu, macam-macam lisa fikir tentang kesan fototerapi pada bayi jaundice ini. Adakah rawatan ini efektif untuk bayi yang kena jaundis dan adakah ia sesuai dengan anak Lisa ni. Sebenarnya inilah pengalaman pertama Lisa alami anak yang kena jaundis kerana anak pertama Lisa, bacaan kuningnya adalah normal dan tidak terlalu tinggi. Waktu itu, Allah sahaja yang tahu perasaan seorang ibu itu bagaimana. Sedih dan sayu melihat anak yang baru dilahirkan terpaksa dibiarkan dalam kotak fototerapi ini dan matanya perlu ditutup. Apabila Sarah menangis ketika Lisa letak dia dalam bekas tersebut, ketika itu juga Lisa akan menangis bersama. Tapi Lisa tetap pujuk hati ni bahawa kita kena kuat dengan ujian yang ALLAH berikan. InsyaALLAh semua ini hanya sementara sahaja. 

Alhamdulillah, selepas keluar daripada hospital iaitu kami bermalam hanya 1 malam sahaj di wad, bacaan kuning semakin menurun sehingga hari terakhir yang perlu diambil kira untuk menentukan bahawa Sarah dikira prolonged jaudice atau tidak. Syukur sangat bacaan kuningnya normal pada hari tersebut maka berakhirlah sudah perjalanan kami ulang alik ke sana setiap hari. Benarlah pihak hospital dan pakar perubatan berkata bahawa rawatan fototerapi ini salah satu cara berkesan untuk menurunkan bacaan kuning bayi. Kita sebagai ibu bapa dan pertama kali melalui pengalaman anak kena kuning rasa sedikit tertekan dan insyaALLAH  ini adalah pengalaman yang sangat bermakna buat kami suami isteri.

Ini adalah gambar terbaru anak Lisa ketika menyambut Hari Raya Kedua. Alhamdulillah dia makin sihat dan naik berat dengan jayanya.


Di bawah ini Lisa mahu kongsikan panduan lengkap dan tips merawat bayi yang kena jaundis atau lebih dikenali sebagai kuning bayi. 

Apakah Maksud Jaundis?


Definisi jaundis adalah warna kekuningan yang kita dapat lihat pada permukaan kulit bayi disebabkan oleh peningkatan bilirubin dalam darah. Kebiasaannya jaundis terjadi kepada bayi selama sebulan selepas dilahirkan. Bilirubin ini membawa erti sejenis pigmen yang dihasilkan daripada pemecahan sel darah merah dan kemudiannya ia diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan melalui najis. Sebab itulah, jika anda perasan najis bayi pada awal kelahiran berwarna kekuningan. 

Apakah perkara dan fakta yang ibu-ibu perlu tahu mengenai Jaundis


  • Jaundis biasanya bermula selepas 48jam bayi dilahirkan. Sebab itulah, jururawat akan membuat follow up dengan bayi selepas 2 hari bayi dilahirkan bagi memastikan bayi dapat rawatan yang cepat.
  • Jaundis biasanya akan berkahir sehingga seminggu selepas bayi dilahirkan. Ia akan beransur menurun bacaan kuning mereka. 
  • Jaundis dianggap berpanjangan bagi bayi cukup matang, tempohnya melebihi 14 hari tetapi bagi bayi pramatang, tempohnya melebihi 21 hari.
  • Anda tidak perlu bimbang jika bayi anda masih mahu menyusu badan, masih aktif , bukan bayi pramatang dan peningkatan bacaan kuning masih tidak meningkat tinggi.
  • Tetapi anda perlu mengambil perhatian dan risau jika anda melihat bayi anda tidak aktif, tidak mahu menyusu badan, peningkatan bacaan kuning tinggi, najis bayi kelihatan pucat dan air kencingnya kelihatan pekat.
  • Jika ia terjadi, cepat-cepatlah bawa anak anda berjumpa dengan doktor berkenaan untuk dapatkan rawatan yang sesuai untuk bayi anda.
Sumber rujukan daripada myhealth.gov 

Tips merawat Bayi Yang Kena Jaundis Atau Bayi kena Kuning


Walaupun zaman sudah makin maju dan kita juga sudah masuk era tahun 2020, tetapi terdapat rawatan atau petua tradisional untuk menghilangkan kuning bayi ini. Tidak dinafikan masih ramai yang mempercayai tentang petua tradisional tersebut. Antara rawatan tradisonal menghilangkan bayi kuning yang popular adalah

  1. Memberi bayi susu kambing.
  2. Memberi bayi jus anggur atau madu asli
  3. Pendedahan bayi kepada cahaya matahari
  4. Mandikan anak dengan daun kucai
  5. Mandikan bayi dengan herba kuning dari kedai cina
  6. Ibu perlu elak makan makanan yang mengandungi bahan seperti halia, herba dan kunyit.
  7. Dan sebagainya

Sejauh mana keberkesanan rawatan tradisional menghilangkan kuning bayi ini, masih tiada bukti yang ditunjukkan melalui fakta atau dari segi saintifiknya tetapi tak salah untuk anda rujuk dengan mereka yang sudah berpengalaman yang melaluinya. Namun menurut kata pakar dalam kesihatan bayi mereka menganjurkan beberapa cara untuk memastikan bayi semakin beransur pulih daripada penyakit jaundis atau lebih dikenali sebagai bayi kuning.

Menyusu Bayi Secara Kerap 

Inilah nasihat yang sering kita dengar dan yang diberikan oleh jururawat ataupun pihak doktor kepada kita yang mempunyai bayi jaundis ini. Bukan saja-saja doktor menyarankan kaedah ini tetapi dari segi saintifiknya adalah dengan menyusukan bayi dengan kerap secara susu badan,  bayi ini akan dibekalkan kandungan lemak dalam susu ibu di mana ia membantu untuk proses metabolisme bilirubin ini. Proses metabolisme bilirubin bermaksud proses pemecahan HBF( Fetal hemoglobin) yang diperlukan oleh bayi ketika dalam kandungan ibu akan digantikan dengan HBA( Hemoglobin A) yang berfungi membawa dan melepaskan oksigen dengan lebih baik apabila bayi sudah dilahirkan. Proses ini berlaku di dalam hati bayi. Proses ini juga akan menghasilkan najis bayi berwarna kuning atau hijau.

Untuk pengetahuan anda, bayi yang kena kuning mereka lebih suka tidur yang lama kerana proses tersebut berlaku dalam badan, maka disarankan untuk kejut bayi bagi sesi penyusuan. Cara nak kejut bayi kuning adalah dengan sejam sekali atau 2 jam sekali, dan bagi setiap sesi penyusuan kira-kira 15miit hingga setengah jam. Pastikan penyusuan anak adalah dalam kedudukan yang betul dan jika tidak anak anda tidak dapat menyusu secukupnya.

Rawatan Fototerapi


Jika doktor melihat bacaan kuning bayi anda masih di tahap tinggi maka mereka akan menyarankan supaya bayi anda diletakkan di bawah rawatan fototerapi. Seperti yang Lisa ada sebutkan di atas tentang pengalaman bayi dapatkan rawatan fototerapi. Sebenarnya ibu-ibu jangan risau atau bersedih apabila bayi anda menjalani rawatan fototerapi ini keran ia hanyalah kaedah pencahayaan serta bantuan bagi menurunkan bacaan kuning bayi. Kebiasaannya jika bacaan kuning bayi anda masih paras tinggi tetapi tidak merbahaya maka bayi anda mungkin hanya melalui 1 hari atau 2 hari sahaja rawatannya. 

Rawatan Pertukaran Darah


Jika bayi anda masih mempunyai bacaan kuning yang tinggi dan melebihi 14 hari atau 21 hari, maka doktor akan memberi cadangan supaya bayi anda perlu melalui proses pertukaran darah kerana ia boleh membawa bahaya dan boleh menyebabkan kerosakan otak. 



Semoga perkongsian tentang panduan lengkap dan tips merawat bayi yang kena jaundis atau kuning ini dapat beri sedikit sebanyak informasi serta pengetahuan untuk ibu-ibu yang sedang mengalami bayi kuning. Nasihat Lisa sendiri yang pernah melalui pengalaman bayi kena kuning dan hampir prolonged jaundice, diharapkan supaya ibu-ibu sekalian banyakkan bersabar, minta sokongan daripada orang tersayang dan doalah banyak-banyak kepada ALLAH. Sesungguhnya daripada Dia penyakit ini datang dan kepada Dia penyakit ini dikembalikan. Sentiasalah positif walaupun ia bukan mudah. 




No comments:

Powered by Blogger.