Bagaimana Untuk Menjadi Ibu Yang Positif?


June 12, 2021

Emosi seorang ibu akan memberi kesan besar kepada emosi anak-anak. Jika ibu sukar mengawal emosinya dan dirinya sentiasa berada dalam negative mode maka ia akan menyalurkan negative vibes juga kepada anak-anak. Kesan ke atas ibu-ibu ini adalah mereka akan menjadi cepat marah, cepat letih dan yang lebih teruk lagi mengalami depression dan anxiety yang melampau. Ya, memang betul dengan keadaan sekarang, iaitu berlakunya Pandemik dunia serta kejatuhan ekonomi , ia merupakan faktor luar yang menghimpit ibu-ibu ini.



Mungkin ada di antara kita sedang dihimpit masalah kewangan

Mungkin ada di antara ibu-ibu sedang menghadapi masalah keruntuhan rumah tangga, tidak lagi mempunyai seperfahaman dengan pasangan

Mungkin ada di antara kita sedang diuji dengan anak-anak yang kurang upaya mahupun anak-anak yang sedang aktif membesar.

Dan tidak kurang juga ada ibu-ibu yang diuji dengan cabaran orang sekeliling yang sentiasa membuat kita berasa 'down'.

Itulah dinamakan hidup. Hidup ini ada ujian. Setiap manusia ujiannya berbeza-beza. Dan dengan ujian itulah merupaka tanda ukur untuk kita ke syurga mahupun sebaliknya. 

Oleh itu, bagaimana untuk menjadi ibu yang positif jika terlalu banyak cabaran dan masalah yang menghimpit diri ini? 


Sebelum Lisa nak kongsikan Tips untuk menjadi Ibu Yang Positif, Lisa nak kita semua faham bahawa masalah dan cabaran bukan untuk kita fikirkan terlalu mendalam sehingga memberi kesan negatif kepada diri kita sama ada fizikal mahupun mental. Tetapi cabaran dan masalah yang ALLAh berikan untuk kita kembali kepadaNya, dan berusaha mana yang kita mampu dan selebihnya serahkan kepada Dia yang memberi cabaran itu dalam hidup kita. 


Baiklah, Lisa kongsikan Tips Bagaimana Untuk Menjadi Ibu Yang Positif? Tips ini Lisa dapat daripada hasil pembacaan serta mendengar beberapa ceramah dari speaker dalam dan luar negara. Dan Lisa kongsikan dengan anda sebagai peringatan untuk diri Lisa sendiri yang selalu juga lupa untuk menjadi ibu yang positif. Sama-samalah ita ingat mengingati.



 1. Mulakan Morning Routine Anda Dengan Perkara Yang Positif 

Cuba tanya pada diri kita, apa rutin pagi kita setiap hari? Adakah kita buka facebook dahulu? Atau buka radio yang penuh dengan isu semasa? Atau mendengar gosip artis tempatan? Jika ya, cuba secara perlahan-lahan ubah rutin pagi kita dengan mendengar kata-kata motivasi, ceramah berkenaan semangat dan self-love, serta podcast. Setiap pagi jiwa kita ini perlu diberi makan makanan yang baik dan yang positif. Bukan setakat perut sahaja perlukan makanan tetapi diri dan jiwa juga perlukannya. 




Dengan mendengar perkara yang positif atau membaca buku tentang self-development/self-love maka kita akan menjadi lebih bersemangat untuk menghadapi hari-hari tersebut. Walaupun pada hari itu di pertengahannya kemungkinan ada ujian yang didatangkan, tetapi kita masih boleh bertenang dan boleh berfikir secara rasional. 



Antara topik-topik uatama yang boleh anda dengarkan di Youtube/podcast/Spotify adalah

  • Ceramah Motivasi 
  • Ceramah agama berkenaan semangat dan inspirasi daripada kisah-kisah Nabi
  • Self-development
  • Self-love
  • Tips rumahtangga bahagia
  • Talk berkenaan menjadi ibu bapa yang lebih baik
  • dan sebagainya

Lisa faham yang ibu-ibu pasti sibuk uruskan anak-anak sekolah dan anak-anak kecil pada wkatu pagi sebab Lisa pun melaluinya juga. Sebab itulah, setiap pagi pasangkan saja ceramah atau kata-kata motivasi ini di gadget kita di dapur. Sementara masak sarapan pagi, kita boleh dengar apa yang speaker itu sampaikan. Sekurang-kurangnya kita boleh mendapat sesuatu daripada apa yang kita dengarkan. 

2. Follow atau Berkawan Dengan Mereka Yang Positif

Sosial Media adalah medium utama yang menjadi perantaraan antara kita dan sahabat yang kita sudah kenal atau pun mereka yang kita baru sahaja kenal melalui alam maya. Facebook, Instagram, Tik Tok, Twitter dan sebagainya merupakan aplikasi yang kita sering lihat dan sebab itulah kita perlu memilih mereka yang kita 'Follow' atau 'Friend' di media sosial, mereka yang positif. 




Bayangkan, jika kita ada kawan di media sosial yang suka mengutuk orang, suka complain tentang hidupnya dan mengeluarkan kata-kata yang kesat, dan apabila kita buka laman media sosial, terpampang kesemua perkataan negatif tersebut, bagaimana perasaan anda ketika itu? Secara tidak langsung apa yang anda baca dan lihat berkenaan perkara negatif , ia akan hantar ke saluran fikiran minda bawah sedar kita dan menyebabkan diri kita mudah menjadi negatif juga. 

Jika sebaliknya, di wall Facebook anda penuh dengan kata-kata positif dengan ayat penuh kesyukusan atas kehidupan yang Tuhan kurniakan serta kata-kata semangat yang dilontarkan oleh teman media sosial anda, maka  secara tidak langsung ia memberi signal kepada minda bawah sedar untuk menjadi orang yang positif. 

3. Amalkan Pemakanan Yang Sihat

Sebagai seorang ibu yang sentiasa perlu bertenaga, kita disarankan untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Makanan merupakan asas keperluan badan dan ia boleh memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada diri kita. Jika anda makan makanan yang tinggi gula, tinggi garam, fast food dan processed food , anda akan dapati berat badan anda akan bertambah dan ia merupakan satu signal kepada badan bahawa ia adalah kesan negatif. 




Di samping itu, dengan cara pemakanan yang tidak sihat ia akan mempengaruhi emosi kita. Perasan tak jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan sama ada serius atau tidak, emosinya mudah terganggu iaitu mudah menjadi pemarah, mudah menyalahkan orang lain dan sebagainya. Itu adalah petanda menunjukkan yang apa kita makan tidak baik untuk kesihatan badan.

Percayalah jika anda mula mengamalkan pemakanan yang sihat, anda menjadi aktif dan cergas, anda boleh lihat cara pemikiran anda akan menjadi lebih positif. 


4. Bersenam 

Ada sebilangan ibu-ibu mengatakan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersenam apatah lagi untuk berjogging di luar dan pergi ke gym. Sebenarnya tidak perlu menyediakan tempat khas untuk bersenam atau keluar rumah untuk melakukan aktiviti fizikal, tetapi kita boleh saja bersenam di dalam rumah iaitu di ruangan dapur, di ruang tamu, di bilik tidur dan di ruangan yang mudah untuk kita lakukan beberapa pergerakan fizikal. 

Mungkin agak malu untuk Lisa kongsikan kepada anda tentang Lisa sering bersenam di dapur. Sementara menunggu sayur dan lauk masak di atas api, ketika itu kita boleh melakukan senaman seperti jumping jack, squad, lunges dan banyak lagi pergerakan mudah yang boleh dilakukan di ruangan yang terhad. 

Faedah bersenam adalah untuk badan kita menjadi aktif dan di samping ia mengeluarkan hormon yang positif dari badan kita. Cuba lihat mereka yang rajin bersenam sentiasa nampak lebih muda, sihat dan ceria. 


5. Berikan 'Me Time' untuk diri Ibu

'Me Time' buat ibu bukanlah bermaksud kita lari dari tanggungjawab sebagai seorang ibu tetapi ia adalah masa atau ruangan yang diberikan supaya kita dapat rehatkan diri dan minda. Anggaplah 'Me Time' ini sebagai masa untuk ibu recharge ourself, our mind, our soul and our body. Sebenarnya Me Time ini tak perlu lama pun, kadang-kadang setengah jam pun dirasakan amat bahagia buat si ibu. 

Ada ibu merasakan, menonton rancangan kesukaannya tanpa gangguan merupakan 'Me Time' dia,
Ada ibu menganggap membaca alquran dan menghayati makna setiapa perkataan adalah 'Me Time' dia,
Ada ibu melihat dengan melakukan hobinya merupaka 'Me Time' dia,
Dan tidak kurang juga ada ibu yang menyatakan tidur tanpa ada gangguan merupakan 'Me Time' dia.

Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri dalam mencari erti kebahagiaan sebagai seorang ibu. Jika anda masih tercari-cari 'Me Time' anda, cuba fikir kembali apa perkara yang anda suka lakukan dan membuatkan hati dan jiwa anda berasa lebih tenang dan lebih gembira walaupun melakukannya hanya mengambil masa tidak lama. 

Terima kasih kerana membaca artikel ini sehingga akhir. Lisa harapkan anda mendapat manfaat daripada kata-kata dan penulisan ini. Lisa doakan semoga semua ibu yang membaca penulisan ini menjadi ibu yang hebat dan mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah. 

No comments:

Powered by Blogger.