Pengalaman Mengandung Anak Kedua Berbeza Dengan Anak Pertama


November 26, 2018
Sekarang ni, Lisa baru nak masuk third trimester untuk anak kedua. Bermaksud lagi 2 hingga 3 bulan lebih insyaALLAH Lisa bakal menimang cahaya mata kedua kami. Pelbagai perasaan yang timbul dalam hati dan fikiran ni, maklumlah Lisa pernah ada pengalaman gugur sebelum ini pada awal tahun 2018. Semoga ALLAH permudahkan segalanya. Lisa nak kongsikan pengalaman Lisa untuk anak kedua ini di mana pengalaman ini boleh dikatakan 360 darjah berbeza dengan pengalaman anak pertama kami iaitu Ameer Fareeq.



Mungkin pengalaman ini boleh dikongsi bersama dengan ibu-ibu yang sedang baca entry post lisa ni.

1. Perut Lebih Besar dari Sebelum ini.


Apa yang paling lisa perasan mengenai perubahan fizikal adalah bahagian perut. Semasa mengandungkan fareeq, perut Lisa tidaklah besar sangat berbanding saiz perut yang sekarang. Sampaikan ada yang tegur tentang perut lisa, mereka kata eh ada anak kembar ke? Tapi lisa pun memang dapat rasakannya. Pada usia kandungan pertama 6 bulan, perut lisa masih tak nampak lagi dan ada yang mengorat sebab ingat lisa masih single ketika itu. Sedangkan lisa tengah mengandung 6 bulan. Tapi kali ini, usia kandungan baru mencecah 6 bulan lebih tetapi perut dah ke depan. Bila lisa berbual dengan nurse, beliau kata itu adalah normal kerana untuk anak pertama perut kita masih kemas lagi tetapi bila masuk anak kedua dan ketiga perut kita sudah ada rongga sebelumnya. Sebab itulah, ada ibu-ibu yang kata perut mereka untuk anak kedua dan seterusnya adalah lebih besar dari sebelumnya.

2. Pergerakan Bayi Dalam Perut Terasa Lebih Awal 


Waktu Lisa mengandungkan fareeq, lisa dapat rasakan pergerakan bayi adalah pada usia 7 bulan ke atas tetapi pada kali ini seawal 5 bulan lebih Lisa dah rasa pergerakan bayi. Bila lisa ceritakan perkara ini kepada kawan-kawan dan saudara mara mereka kata mungkin waktu anak pertama lisa agak sibuk berbanding anak kedua ini. Mungkin betul juga. Tetapi bila lisa tanya kepada doktor dan nurse,mereka kata anak kedua memang akan rasa pergerakan bayi dalam perut lebih awal dari anak pertama.

Artikel berkaitan: Pengalaman Menggunakan Support Belt ketika Mengandung 

3. Mual Yang Sangat Teruk


Bila ada kawan lisa ceritakan tentang pengalaman mereka mengandung dan mereka morning sickness yang sangat teruk, lisa rasa mereka seperti mereka-reka cerita sebabnya waktu mengandungkan fareeq lisa tidak ada langsung morning sickness apatah lagi nak rasa pening dan muntah,memang jauh sekali. Tapi bila anak kedua ini, barulah lisa percaya memang wujudnya morning sickness. Bulan pertama bila lisa tahu, lisa mengandung masa itu lisa muntah dan pening yang sangat teruk. Makan muntah,makan muntah. Kemudian, pening yang sampaikan tak boleh langsung nak bangun sebab takut jatuh atas lantai. Keadaan ini lisa lalui lebih kurang 3 hingga 4 bulan. Nak masuk bulan kelima barulah muntah dan pening makin berkurang. Syukur sangat.

4. Sakit Belakang Terasa Lebih Awal


Semasa mengandungkan fareeq, usia kandungan mencecah 8 bulan baru Lisa rasa sakit belakang apabila duduk terlalu lama atau berjalan terlalu lama tapi ia sangat berbeza pada kandungan yang kedua ini iaitu lisa rasa sakit belakang lebih awal iaitu seawal 5 bulan lebih. Sakit belakang di bahagian pinggang. Cuma bezanya, bila lisa jalan lama, sakit belakang tidak dirasakan sangat tetapi apabila duduk dan baring terlalu lama, ia amat sakit.

5. Kedudukan Bayi Dirasakan Sedikit ke Bawah


Ada yang tegur lisa bila lihat di bahagian perut, mereka kata kedudukan perut lisa sedikit ke bawah berbanding sebelum ini. Bila lisa baca beberapa artikel, memang mereka kata kedudukan bayi yang kedua dan seterusnya akan sedikit ke bawah berbanding anak pertama kerana otot abdomen tidak lagi tegang dan ia tidak dapat menampung bayi sebagaimana anak pertama.

6. Mengidam Yang Sangat banyak


Entahlah kali ni, lisa rasakan nafsu mengidam untuk anak kedua lebih besar dari anak pertama. Ada yang kata mungkin sebelum ini lisa tinggal di luar negara jadinya banyak makanan Malaysia yang lisa tidak dapat makan. Masa inilah, lisa nak makan banyak. Mungkin betul dan mungkin juga tidak. Sebabnya, di Qatar lisa masih masak apa yang lisa teringin atau pergi ke kedai indonesia yang ada masak masakan ala-ala melayu Malaysia. Ada juga yang kata mungkin pembawaan bayi.

7. Perubahan penampilan.


Pada awal trimester, lisa langsung tak suka nak pakai make up apatah lagi nak pakai baju yang cantik. Lisa capai baju blouse dan seluar yang simple sahaja, dalam fikiran asalkan tutup aurat. Tiba-tiba husband Lisa tegur, selalunya lisa suka pakai baju yang lebih kemas dan sediit bergaya serta make up sikit sebelum keluar tetapi kali ni sangat berbeza. Lisa pun pelik sebenarnya. Tapi bila masuk third trimester tiba-tiba ia bertukar 360 darjah apabila lisa rasa teringin nak bergaya dan suka shopping online. Di mana ada sale baju ibu mengandung di situ lisa akan beli.

Macam-macam ragam bila kita mengandung ni. Ada yang kita tidak pernah terlintas dalam fikiran akan lakukannya tetapi semasa mengandung kita lakukannya. Walau apa pun perubahan yang dirasakan ketika mengandung, jangan dilupakan untuk berdoa kepada ALLAH semoga segala urusan bersalin kita nanti dipermudahkan dan semoga ibu dan baby sihat walafiat fizikal dan mental.

Terima kasih kepada ibu-ibu yang membaca pengalaman lisa mengandungkan anak kedua ini. Jangan lupa kongsikan juga pengalaman ibu-ibu ketika bersalin anak kedua dan seterusnya, mungkin ia boleh dijadikan garis panduan kepada ibu-ibu baru yang ingin dapatkan motivasi dan inspirasi. InsyaALLAH.

Nasihat Lisa sebagai seorang ibu dan sedang melalui fasa perubahan untuk anak kedua ini, semoga ibu-ibu sekalian bersabar dan redha dengan setiap perkara yang diuji oleh ALLAH kerana ujian itu tanda DIA sayang kepada kita. Kerana itu jugalah syurga terletak di bawah tapak kaki ibu.




No comments:

Powered by Blogger.