10 Koleksi Resepi Kuih Raya Yang Mudah Dibuat


May 12, 2020
Beberapa hari sahaja lagi kita sebagai umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Walaupun pada tahun 2020 ini akan terasa perbezaan menyambutnya berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana masalah pandemik dunia tetapi janganlah jadikan itu sebagai alasan untuk kita tidak dapat merasai hari kemenangan umat Islam. Ikutlah sunnah Rasulullah s.a.w iaitu memakai baju bersih dan kemas, merasai kemanisan aidilfitri serta menyambutnya penuh rasa kegembiraan. Sebagai meneruskan tradisi adat melayu, kita juga akan menyediakan kuih raya di pagi raya untuk disajikan kepada pa tetamu yang bakal hadir. Walaupun raya kali ini aktiviti kunjung mengunjung tidak digalakkan tetapi kita akan rasa lebih gembira dengan adanya koleksi kuih raya di atas meja sebagai penyeri Hari Raya Aidilfitri. 


Mungkin ada yang mampu untuk membeli dengan penjual kuih raya tetapi tidka kurang juga yang masih berkira-kira untuk membeli kuih raya dan untuk dihidangkan di atas meja ruang tamu. Dan ada juga dikalangan yang lebih seronok membuat sendiri kuih raya berbanding membelinya dari penjual. Di sini Lisa kongsikan 10 koleksi resepi kuih raya yang mudah dibuat dan sedap dimakan. Jika anda buat kesepuluh jenis kuih raya di bawah, Lisa percaya ia sudah cukup untuk menyerikan pagi raya anda. 

Anak-anak anda adalah orang pertama yang paling seronok apabila melihat pelbagai jenis kuih raya yang dihidangkan di atas meja dan tambahan pula jika anda kreatif anda boleh membuat kuih raya ini warna warni seperti lagu raya warna warni di aidilfitri. 

Tahun ini adalah tahun pertama Lisa beraya di perantauan maka Lisa pun terpaksa juga buat kuih raya di bawah sebagai penyeri di pagi raya. insyaALLAH, semoga koleksi resepi kuih raya di bawah dapat membantu kita membuat kuih raya yang sedap dan senang dibuat. Yang paling utama dapat jimat duit poket kita. 


10 Koleksi Resepi Kuih Raya Yang Mudah Dibuat Dan Sedap Dimakan


1) Resepi Cornflakes Madu 


Walaupun bukan di Hari Raya, Lisa akan buat juga biskut cornflakes madu ini sebab anak Lisa, Fareeq memang suka makan biskut ini. Lisa jadikan cornflakes madu ini sebagai makanan snacking dia ketika minum petang. Kadang-kadang dia boleh habiskan 10 hingga 12 biji cornflakes madu sekali makan. Biasalah budak-budak memang suka biskut yang rangup dan manis. Jadinya, Lisa nak kongsikan dengan anda resepi cornflakes madu yang biasa Lisa buat untuk anak-anak. 




Bahan-bahan cornflakes Madu


3 cawan cornflakes madu(ini anggaran untuk sahaja, anda boleh buat sukatan mengikut berapa biji biskut yang anda mahu hasilkan nanti)
2-3 tbs majerin/butter
3-4 tbs madu
Paper Cup 
Rainbow sprinkles sebagai hiasan atas

Cara-caranya


1. Cairkan majerin di atas api. 
2. Kemudian masukkan majerin yang sudah cair bersama madu dan cornflakes.
3. Kacau sehingga sebati. 
4. Sudukan cornflakes tadi ke dalam paper cup dan hiaskannya dengan rainbow sprinkles.
5. Masukkan dalam oven suhu 150 darjah, 10-15 minit bergnatung kepada kebesaran oven anda. 

Alhamdulillah sudah siap dan boleh bahagikan separuh untuk anak-anak makan ketika berbuka puasa nanti dan separuh perlu disorokkan supaya boleh dihidang ketika Hari Raya nanti. Jika tidak disembunyikan nanti ada cornflakes madu habis dimakan. Heheheh... 

2) Resepi Samperit Susu



Bahan-bahan


250gm Butter
3/4 cawan susu pekat
400gm tepung jagung
3tbs tepung custard
1 sudu kecil esen vanila

Cara-caranya


1. Masukkan buttercup dan susu pekat dan digaul sebati. Tak perlu sampai kembang, guna senduk pun boleh.
2. Masukkan esen vanila.
3. Kemudian, masukkan tepung jagung dan tepung custard ke dalam adunan tadi. Uli sehingga tidak melekat di tangan. 
4. Boleh mula untuk buat acuannya.
5. Biarkan selama 10 minit sebelum masukkan ke dalam oven.
6. Suhu disarankan adalah 160 darjah, 20-25 minit. Bergantung kepada kebesaran oven anda.
7. Dah siap dan boleh sedia dihidang di pagi raya.

3) Resepi Biskut Makmur

Images by Falcon Kitchenware

Biskut makmur ini adalah biskut yang Lisa pernah buat sejak dibangku sekolah lagi. Waktu itu umur Lisa 15 tahun selepas tamat sahaja PMR, Lisa sertai guru kemahiran hidup untuk menjual kuih raya kepada guru-guru serta ibu bapa pelajar. Resepi biskut makmur atau juga dikenali sebagai biskut suji sangat mudah dibuat dan sedap dimakan. Ada juga orang panggil biskut makmur ini sebagai biskut salji kerana hiasan luarnya menggunakan gula castor seolah-olah seperti salji. 

Bahan-bahan


3 Cawan minyak sapi
5-6 cawan tepung gandum
setengah cawan gula castor(hiasan atas)
Kacang tanah(disangai dan dibuang kulitnya untuk dijadikan inti)

Cara-caranya


1. Campurkan minyak sapi bersama tepung gandum sehingga rata dan tidak melekat di tangan. 
2. tekstur adunan adalah lembut dan  bulat-bulatkannya dengan meletakkan kacang tanah yang telah disangai ke dalam bulatan tersebut.
3. Bakar pada suhu 150-160 darjah, 10-15 minit bergnatung kepada oven anda.
4. Siap untuk dihiaskan atasnya dengan gula castor. Pastikan ia sejuk terlebih dahulu ketika ingin menghias.

4) Resepi kuih Mazola 

Image by Facebook

Bahan-bahan


2-3 cawan kacang tanah
1/2 cawan gula icing
2 1/2 cawan tepung gandum
1 cawan minyak jagung

Bahan hiasan

kuning telur
kacang tanah

Cara-caranya


1. Satukan tepung gandum, gula icing dan kacang tanah.
2. Masukkan minyak jagung sedikit demi sedikit supaya adunan elok untuk diterapkan. 
3. Hiaskan atas terapan dengan menyapukan sedikit kuning telur dan atasnya kacang tanah.
4. Bakar adunan pada suhu 150 darjah, 20-25 minit.
5. Siap dihidang. 

5) Resepi Kuih Crunchy Cornflakes 

Image by Facebook

Bahan-bahan


13/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung jagung
1 sudu kecil baking powder
2 cawan cornflakes dan ramas kasar
200gm butter(suhu bilik)
3.4 cawan gula castor
1 biji kuning telur

Cara-caranya


1. Pukul gula dan butter sehingga 5 minit. Boleh menggunakan whisk.
2. Masukkan telur kemudian campurkan tepung,cornflakes dan baking powder.
3. Gaulkan sebati.
4. Bulatkan kecil adunan tadi.
5. Letakkan adunan kecil ke dalam loyang yang disapu nipis dengan majerin.
6. Bakar sehingga 170 darjah, selama 10 minit.  

6) Resepi Kuih Coklat Vanila 


Images by iresepi.com

Bahan-bahan


3/4 cawan butter/majerin
3 sudu besar gula icing
1 1/2 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung jagung
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar serbuk koko

Cara-caranya


1. Pukul butter dan gula icing sehingga kembang. Masukkan esen vanila dan pukul sekali lagi. Boleh menggunakan whisk supaya lebih mudah.
2. Ayak tepung gandum dan tepung jagung kemudian masukkan ke dalam adunan butter tadi. 
3. Gaul sebati. 
4. Bahagikan adunan kepada dua. Satu bahagian digaul bersama koko dan satu bahagian dibiarkan kosong tanpa perlu tambah apa-apa. 
5. Dalam nozzle plastik piping, bahagikan kedua bahagian. Sebelah doh koko dan sebelah lagi doh yang tidak dicampur apa-apa. 
6. Paipkan di atas dulang yang telah disapu dengan majerin.
7. Bakar pada suhu 160 darjah dalam masa 12-15 minit.
8. Siap dihidang setelah sejuk. 

7) Resepi Popiah Nestum

Image by Facebook

Bahan-bahan

1 bungkus kulit popia
1/2 cawan nestum
1/2 cawan horlicks
1/2 cawan gula icing

Bahan untuk kulit melekat


2 sudu tepung gandum
1/4 cawan air 

Cara-caranya

1. Gulung kulit popia dengan menggunakan lidi satay dan pastikan ada sedikit rongga di tengah gulungan.
2. Sapukan bancuhan tepung gandum dan air di bahagian hujung kulit popia untuk dia melekat.
3. Gunting gulugan tersebut secara menyerong. 
4. Gorengkan popia tersebut dan ketepikan.
5. Gaulkan popia dengan gula,horlicks dan nestum. 
6. Siap untuk dihidang. 

8) Resepi Bangkit Cheese 

Image by Facebook

Bahan-bahan


500gm butter/majerin
350gm gula icing
3 biji kuning telur
500gm tepung ubi(goreng tanpa minyak dalam 15 minit)
400gm tepung jagung
50gm serbuk santan
50gm serbuk badam
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil garam
150gm parutan keju cheddar

Cara-caranya


1. Masukkan kesemua bahan kering iaitu tepung ubi. tepung jagung,serbuk santan,serbuk badam,baking powder.Gaul sehingga sebati. Ketepikan.
2. Pukul butter dan icing sehingga kembang.
3.Masukkan kuning telur dan cheddar parut. Gaul sehingga sebati. 
4. Satukan bahan kering tersebut ke dalam mangkuk yang sama dan uli sehingga menjadi doh. 
5. Terapkan mengikut bentuk kesukaan anda. 
6. Bakar pada suhu 160 darjah selama 15 hingga 20minit, mengikut kebesaran oven anda. 

9) Resepi Biskut Oat 


Image by Resepibonda

Bahan-bahan A


150gm majerin/butter
1 cawan gula 
1 biji kuning telur
1 sudu kecil esen vanila

Pukul sehingga sebati

Bahan-bahan B


2 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung jagung
1 sudu teh soda bikarbonat
3 sudu besar milo/serbuk coklat
1/2 cawan oat
1/2 cawan nestum

Cara-caranya


1. Ayakkan tepung gandum, tepung jagung,soda bikarbonat dan serbuk milo. 
2. Satukan bahan yang telah diayak ke dalam bahan B dan bahan yang telah diayak.
3. Gaul sebati sehingga menjadi doh.
4. Sudukannya mengikut bentuk yang anda inginkan atau sudukannya ke dalam paper cup.
5. Bakar pada suhu 160 darjah selama 20-25 minit, mengikut kesesuaian oven anda.

10) Resepi Biskut Mama Carey

Image by Mingguan Wanita

Bahan-bahan


200gm majerin/butter
100gm gula icing
1 biji kuning telur
1 sudu kecil esen vanila

Bahan Diayak


250gm tepung gandum
50gm tepung jagung
50gm susu tepung

Bahan icing atas


1 biji putih telur
1 sudu besar tepung jagung
90gm gula icing

Cara-caranya


1. Pukul majerin dan gula sehingga sebati
2. Masukkan kuning telur dan esen vanila ke dalamnya.
3. Masukkan bahan yang telah diayak sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat.
4. Masukkan doh dalam plastik bag dan simpan dalam peti ais selama 15 minit.
5. Sementara itu, panaskan oven pada suhu 150 darjah.
6. Sediakan dulang pembakar dan sapukan sedikit majerin ke atasnya supaya adunan tidak melekat.
7. Keluarkan doh dari peti ais, dan terapkan mengikut acuan yang anda suka. 
8. Bakar pada suhu 150 darjah selama 15, separuh masak.
9. Setelah dimasak, tunggu sehingga kuih sejuk dan boleh mula pipe icing di atas kuih. 
10. Bakar kembali selama 10 minit. 
11. Siap dimasak dan sedia untuk dihidang. 

Ha dah idea dah untuk buat kuih raya apa nanti untuk dihidangkan di pagi raya? Ini antara koleksi resepi kuih raya yang Lisa rasa mudah untuk dibuat dan ia juga merupakan kuih raya yang menjadi kegemaran ramai. Cumanya senarai yang kesepuluh tu perlukan sedikit effort untuk membuatnya tapi Lisa still masukkan dalam koleksi kuih raya ini kerana Lisa rasakan ia sangat sedap dan patut anda cuba buat. Itu merupakan biskut raya kegemaran Lisa sejak zaman sekolah lagi.

Lisa harapkan senarai 10 koleksi respei kuih raya ini dapat beri sedikit idea untuk anda untuk membuat kuih raya. Jangan lupa kongsikan resepi kuih raya ini dengan rakan-rakan anda di media sosial. 

No comments:

Powered by Blogger.