Berpantang Cara Tradisional Melayu Jawa


October 26, 2018
Sejak kebelakangan ini, banyak isu berpantang ditumbulkan dan ramai di kalangan pengamal perubatan sains dan tidak kurang juga pengamal tradisional menyuarakan pendapat masing-masing tentang berpantang. Antara isu utama yang dibangkitkan adalah topik makanan berpantang. Ada yang kata sesetengah makanan boleh dimakan dan ada juga yang kata kita boleh makan apa sahaja selagi ia mempunyai khasiat yang baik untuk badan. Jika ditanya pendapat Lisa sendiri, masing-masing mempunyai cara tersendiri dan yang paling penting kita kena kenal diri kita sesuai yang mana satu cara iaitu baik untuk diri. Jika ia memudaratkan kesihatan diri maka cuba elakkan dan amalkan cara berpantang yang mengikut kesesuaian. Tapi untuk entry post kali ini, Lisa bukan nak cerita terlalu detail mengenai topik makanan berpantang tetapi Lisa nak kongsikan pengalaman Lisa sendiri berpantang cara tradisional Melayu Jawa.

Eh kenapa boleh campur pula berpantang cara tradisional Melayu dan berpantang cara tradisional Jawa?

Sebabnya, belah husband Lisa adalah dari keturunan Jawa dan Lisa berpantang di rumah mak mertua selama 3 minggu, kemudian Lisa berpantang di rumah mak sendiri di mana mak Lisa mengamalkan pantang cara tradisional Melayu. Jadinya Lisa gabungkan cara berpantang ni. Heheh.. maka jadilah berpantang cara tradisional Melayu Jawa.

Percayalah, kedua-dua cara berpantang tradisional ini sebenarnya tak jauh beza dan yang pentingnya adalah tujuannya sama iaitu bila kita berpantang, kita mahukan supaya kesihatan luaran dan dalaman cepat pulih dan bayi juga dalam keadaan yang sihat walafiat.

Sebenarnya, Lisa rasa sangat bertuah sebab mak mertua Lisa sebenarnya ada menjual set berpantang untuk orang selepas bersalin. Dan untuk pengetahuan anda, set berpantang ini adalah dari keturunan mak mertua Lisa semasa beliau berpantang anak pertamanya iaitu suami Lisa.

Kebiasaannya, kita mendengar tempoh berpantang adalah 4o hari, 44 hari, 60 hari dan ada juga yang mengamalkan sehingga 100 hari. Tapi masyarakat kita sering mengamalkan amalan berpantang ini hanya 44 hari sahaja. Terpulang kepada individu untuk memilih tempoh berpantang yang sesuai untuk badan.

Artikel berkaitan: 20 Amalan Ibu Mengandung Yang baik Untuk Ibu dan Anak 


Berikut adalah Berpantang Cara Tradisional Melayu Jawa:

Mandian Herba

Mandian herba ini merupakan salah satu perkara wajib yang ditekankan oleh mak mertua Lisa. Ini kerana dengan mandian herba yang mempunyai lebih 7 jenis tumbuhan boleh mengembalikan kesegaran, kecergasan, keharuman dan aroma terapi pada tubuh badan. Di samping itu, ia dapat memulihkan tenaga secara semulajadi. Mandian herba ini Lisa amalkan setiap mandi pagi dan petang(sebelum menjelang maghrib). Semasa Fareeq dilahirkan lagi, Lisa dah mandikan dia dengan mandian herba ini dan sehingga kini Fareeq kalau balik rumah nenek belah suami, pasti dia minta untuk mandian herba ini. Memang betul, terasa badan sangat segar. 


Tangas

Amalan tangas ini sangat sesuai untuk mereka yang melahirkan anak secara normal bukannya secara pembedahan. Selepas 2 hari keluar dari hospital, mak mertua Lisa suruh Lisa buat tangas supaya mempercepatkan kecutan dan penyembuhan luka di bawah. Teknik tangas ini adalah teknik pengewapan. Alhamdulillah, dengan teknik ini luka Lisa cepat pulih dalam masa 3 hingga 4 hari sahaja selepas bersalinkan Fareeq. 


Mengurut

Mengurut selepas bersalin juga merupakan antara amalan wajib bagi masyarakat melayu dan jawa supaya dapat mengembalikan tenaga, membetulkan urat dalaman serta melancarkan saluran darah dalam badan. Ada juga sesetengah orang memberi pendapat dengan urutan dapat menaikkan kembali sistemperanakan. Waktu Lisa berpantang, Lisa ambil pakej 5 hari berturut-turut untuk mengurut. Mak cik yang urut Lisa ni mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang urutan. Selepas sahaja mengurut, alhamdulillah badan rasa lebih ringan dan cergas.

Bengkung

Sebagai wanita yang ingin mengembalikan bentuk badan yang lebih cantik dan menarik, petua orang lama menyuruh kita mengamalkan bengkung badan. Bengkung ini dipakai sepanjang hari. Lebih lama kita memakainya maka lebih cantik bentuk badan kita dikembalikan seperti zaman anak dara. Maklumlah, bila kita mengandung bentuk badan kita akan ada sedikit perubahan. Bagi pendapat Lisa secara personal, Lisa memang nasihatkan supaya anda memakai bengkung kerana ramai wanita yang Lisa lihat apabila mereka memakai bengkung secara konsisten, bentuk badan mereka memang cantik berbanding wanita yang tidak memakai bengkung secara konsisten. 


Herba Sapu Kecut Luka

Bagi mereka yang bersalin normal, herba sapu kecut luka ini sangat penting supaya luka di bawah cepat pulih. Tambahan pula mereka yang mempunyai luka yang besar dan banyak jahitan. Lisa juga tidak ketinggalan untuk memakainya.


Jamu

Mak mertua Lisa nasihatkan supaya jika nak makan jamu untuk kesihatan wanita lebih baik makan jamu ini selepas bayi betul-betul bebas dari sakit kuning. Lisa mula makan jamu sihat wanita dan manjakani selepas seminggu lebih bila Fareeq betul-betul dalam keadaan sihat. Sebab Fareeq fully breastfeed maka Lisa takut dia lama kena kuning. Orang kata jamu ni panaskan badan. Lisa amalkan makan jamu sehingga 3-4 bulan supaya sihat luar dan dalam badan. 


Memakai Pilis

Ada setengah waniat selepas bersalin, mereka akan rasa pening dan mata sedikit kabur maka dengan memakai pilih di dahi dapat mengurangkan rasa pening dan mencerahkan mata. Waktu berpantang, Lisa memakai pilis ini selama 2 minggu dan alhamdulillah memang terasa kurang pening.


Tapal Perut dan Kapur dicampur dengan limau

Selepas kita bersalin pasti perut akan sedikit menggelebeh, maka tapal perut ini atau boleh juga kapur dan limau dicampur dan disapu di perut. Kemudian, balut perut anda dengan bengkung. InsyaALLAH, anda akan terasa kulit perut akan nampak cantik dan tidak menggelebeh. Lisa amalkan amalan ini selama 44 hari. Kalau anda tidak percaya, cuba amalkannya untuk pantang pada kali ini. Anda akan nampak perbezaannya. 


Bertungku

Bab bertungku ni memang mak Lisa sangat tekankan supaya tiada masalah darah beku dan melancarkan darah dalam badan. Bertungku ini sesuai dilakukan ketika pagi dan petang. Letak tungku yang sedikit panas ini di bawah pangkal rahim dan di seluruh perut. Dan pada masa yang sama bertungku ini juga dapat mencantikkan perut. Dengan bertungku juga dapat mengeluarkan peluh sebab semasa kita berpantang kita masih kurang bertenaga untuk bersenam maka dengan bertungku dapat mengeluarkan toksin dalam badan dengan cara berpeluh. Lisa amalkan amalan bertungku ini selama 44 hari juga. 

Scrub Mandi Lulur

Ada sesetengah wanita mengalami masalah berdaki di bahagian lipatan seperti di leher, siku, lutut dan di atas perut ketika mengandung dan menyebabkan warna kulit sedikit hitam dan tidak sekata. Dengan amalan scrub mandi lulur ini, dapat membersihkan kulit supaya lebih cantik dan menyekatakan rona warna kulit. 


Pantang Makan. 

Menurut mak dan mak mertua Lisa kata, semasa berpantang elakkan makan makanan yang berangin seperti nangka, pisang, ubi kayu, ubi keledek dan lain-lain. Elakkan juga makan makanan sejuk seperti minuman berais, pucuk ubi, labu, kobis dan sebagainya. Jangan makan makanan yang pedas dan terlalu berempah. Amalkan makanan yang bakar dan bersup. Elakkan makanan bergoreng dan berminyak. Amalkan buah-buahan. Semasa Lisa berpantang, Lisa banyak makan makanan ikan haruan bagi cepat pulih luka dan lobak putih bagi susu banyak untuk bayi. Pada masa yang sama, Lisa banyak amalkan minum shake herbalife serta omega 3 herbalife.

Ada yang kata kepada Lisa, ya ALLAH banyaknya step kena ikut untuk berpantang cara tradisional ni, lebih baik tak payah berpantang, zaman dah moden tidak perlu semua ni. Tapi bagi Lisa, amalan berpantang ini sangat penting sebab banyak memberi kebaikan kepada kesihatan dalaman dan luaran badan. Rugi sangat jika tidak mengamalkan malan berpantang cara yang betul. Biarlah kita susah untuk 44 hari tetapi jangan kita susah dikemudian hari.

Sebagai seorang wanita, Lisa sangat sarankan anda untuk mengamalkan amalan berpantang ini. Percayalah, ia memberi seribu kebaikan kepada anda. Jangan pandang enteng dengan cara berpantang tradisional. Lihat sahaja ibu-ibu dan nenek-nenek kita, bagaimana badan mereka cantik dan sihat luar dan dalam. Dengan testimoni depan mata kita dah membuatkan kita lebih percaya.

Lisa pernah jumpa beberapa wanita yang tidak mengamalkan cara berpantang tradisional dan mereka terlalu obses dengan cara moden, selepas beberapa bulan mereka menghadapi masalah kesihatan luaran dan dalaman badan. Sebab itulah, mak Lisa selalu pesan tak pe susah sekarang jangan susah kemudian hari.

Dalam entry post ni, tak da pula gambar Lisa waktu berpantang sebab mood untuk ambil gambar memang ke laut. Terlalu fokus dengan berpantang. Tapi sepanjang Lisa berpantang 44 hari, alhamdulillah Lisa dapat turun berat samapi 14kg. Dan turun 6kg kemudiannya selepas 2 bulan. Dapatlah balik berat zaman anak dara.

Diharapkan perkongsian di atas dapat memberi panduan sedikit sebanyak kepada anda yang sedang ingin berpantang secara tradisional. Jika anda berminat untuk dapatkan set berpantang ini boleh hubungi Mak mertua Lisa di talian 013-2431260. Nak wassap boleh dan nak call pun boleh.



No comments:

Powered by Blogger.