15 Perkara Yang Perlu Anak 2 Tahun Mula Belajar


July 13, 2021

 Pada usia anak 2 tahun adalah masa emas dan sangat berharga kerana ketika ini fikiran mereka seperti span iaitu mudah menyerap dengan apa yang merek melihat, mendengar dan merasai keadaan sekeliling mereka. Dan kebanyakan apa yang mereka belajar adalah melalui bermain dan interaksi sosial yang berlaku pada setiap hari yang dilalui. Ya betul, perkembangan setiap kanak-kanak adalah berbeza dan sebab itulah sebagai ibu bapa, kita perlu memberi pendedahan awal untuk mengetahui tahap perkembangan mereka dari pelbagai aspek terutama sekali dalam kehidupan harian. 





Berikut merupakan 6 aspek perkembangan kanak-kanak umur 2 tahun yang perlu ibu bapa ambil tahu dan Kementerian Kesihatan juga ada mengeluarkan garis panduan secara terperinci berkenaan perkembangan kanak-kanak sejak mereka dilahirkan. 

  1. Kemahiran Motor- Terbahagi kepad 2 jenis motor iaitu motor kasar seperti keseimbangan badan, postur statik dan pelbagai jenis pergerakan badan seperti merangkak dan berjalan. Yang kedua adalah motor halus iaitu koordinasi pergerakan otot-otot kecil dengan mata, contohnya mengutip objek dan makan menggunakan sudu. 
  2. Penglihatan iaitu perkembangan kemahiran melihat secara visual dan kanak-kanak ini mampu memahami atau memproses dalam minda mereka tentang objek atau situasi yang berlaku di sekeliling.
  3. Pendengaran, mereka boleh mengenal pasti arah bunyi dan faham bahasa yang didengari.
  4. Pertuturan dan bahasa, di mana ia melibatkan kemahiran komunikasi.
  5. Kemahiran bersosial, ia melibatkan pemahaman perasaan, niat dan perlakuan. 
  6. Kemahiran kognitif di mana keupayaan kanak-kanak mengguna dan mengintegrasi proses mental seperti pengamatan, persepsi , meori dan pemahaman konsep bagi menyelesaikan masalah. 


Walaupun pada zaman teknologi ini, di mana seawal umur setahun kanak-kanak sudah didedahkan dengan pelbagai jenis gadget tetapi jangan dilupakan tentang perkara asas dalam kehidupan mereka dan lahiriah mereka sebagai seorang kanak-kanak yang suka bermain dan suka melihat perkara di sekililing mereka. Ibu bapa jangan terkejut kerana apa yang anda lakukan setiap hari merupakan proses pembelajaran buat si anak. Tanpa anda sedari mereka sedang belajar daripada anda. Latihan dan memberi pendedahan kepada anak-anak yang berusia umur 2 tahun adalah perkara yang mereka akan belajar tentang kemahiran baru dalam kehidupan. 


Senarai di bawah bukanlah perkara yang wajib anak anda yang berusia 2 tahun perlu buat dan patuhi tetapi ini hanyalah panduan untuk ibu bapa faham tahap perkembangan anak mereka. Dan perlu diingatkan bahawa setiap anak mempunyai perbezaan tahap perkembangan mereka, maka raikan perbezaan tersebut dan hargai usaha mereka. Sebagai ibu bapa kita boleh memberi galakan dan dorongan supaya mereka faham bahawa ibu bapa adalah orang pertama yang mereka belajar tentang dunia kehidupan. Tidak perlu menjadi ibu bapa sempurna tetapi cukuplah ibu bapa yang sentiasa ingin memberi yang terbaik kepada anak-anaknya mengikut kemampuan kita.


1. Mula Membina Perkataan Dan Ayat


Sedar atau tidak, kita ibu bapa ini sering mula bercakap dan berinteraksi dengan anak seawal usia mereka sehari. Sebenarnya, ketika itu anak mula belajar setiap perkataan yang kita ucapkan. Sehinggalah pada usia mereka 2 tahun, mereka muka mengenali dan faham perkataan yang diucapkan. Mungkin pada mulanya mereka hanya boleh berkata satu patah perkataan sahaja kemudian semakin bertambah sehingga mereka boleh membuat 1 ayat yang mengandungi 2 hingga 3 perkataan. Sebagai contoh

  1. Panggilan keluarga ; Mama, papa, ayah, ibu, mami, daddy.
  2. Perkataan perbuatan: Pergi, jom, duduk, nak, makan
  3. Nama anggota badan: mata, hidung, mulut
  4. Barang di rumah; Tv, kasut, buku, baju
Apabila perkataan disambungkan ia mungkin akan jadi seperti ayat ini, 
'Jom Mama'
'Nak Tv'
'Papa duduk'

Mungkin juga mereka mampu membuat ayat tersebut tetapi sebutannya tidak jelas dan masih pelat. Tidak mengapa kerana mereka sedang berusaha untuk belajar memperbaiki setiapa perkataan dan ayat yang dituturkan. Ibu bapa perlu bercakap dengan mereka dengan menggunakan perkataan yang betul, bukannya mengikut pelat mereka. 


Inilah kesilapan yang Lisa pernah lalui untuk mengajar anak bercakap dan membina ayat harian. Dulu Lisa dan suami bercakap pelat sedikit apabila kami interaksi dengan anak sulung ketika dia berumur 2 tahun tetapi ditegur oleh ibu Lisa. Jika ibu bapa cakapa pelat anak pun akan ikut cakap pelat tetapi jika ibu bapa berkata mengguna perkataan dan ayat penuh, anak juga akan ikut perkara yang sama. 

Bantu mereka dengan mengulangi beberapa kali. Contohnya mereka kata 'Nak air', kita sebagai ibu bapa ulangi ayat tersebut dengan ayat yang lengkap, 'Adik nak air'. ulang 2 atau 3 kali. Lama-kelamaan mereka akan mula belajar untuk bina 1 ayat penuh. 

2. Pengenalan Konsep Membaca Buku


Jangan salah faham ya tentang pengenalan konsep memnbaca buku ini, ia bukanlah menyuruh anak 2 tahun pandai membaca buku tetapi lebih kepada bagaimana anak tahu untuk menyelak buku dari muka surat awal sehinga ke kulit akhir walaupun mereka akan skip beberapa helaian. Sebab itulah, pada usia anak 2 tahun, ibu bapa dinasihatkan untuk membeli buku kulit dan muka surat keras supaya anak-anak ini mudah untuk belajar menyelak buku dan rasa seronok melihat gambar-gambar yang ada di dalam buku tersebut. 

Buku yang sesuai untuk anak 2 tahun 

Pada usia 2 tahun ini, amatlah digalakkan untuk ibu bapa membaca buku bersama anak-anak. Tunjuk setiap perkataan yang dibaca. Walaupun anak 2 tahun ini tidak faham lagi tetapi sekurang-kurangnya kita beri pendedahan kepada mereka apa maksud membaca itu. Dan 'Bed time story' adalah masa yang sangat berharga buat ibu bapa dan anak-anak. bukan setakat merapatkan silaturahim malah mereka belajar setiap apa yang didengar dan apabila mereka tidur, minda bawah sedar mereka mula menyerap apa yang dipelajari. 


Buku cerita untuk kanak-kanak.


3. Berdikari Menguruskan Diri

Jika anak anda umur 2 tahun mula menunjuk minat atau ingin melakukan sendiri maka beri peluang kepada mereka untuk melakukannya. Salah satu cara mereka belajar adalah dengan melalui mereka lakukannya, faham sedikit demi sedikit dan adanya kesilapan dalam perjalanan tersebut. Sudah tentu ia tidak sempurna di mata kita tetapi mereka mula belajar apabila mereka lakukannya sendiri. Ibu bapa digalakkan untuk membantu mereka menyempurnakan tugasan tersebut. 

Pada usia 2 tahun mereka mungkin sudah boleh melakukan: 
  • Pakaian; Mereka mula tunjuk minat untuk memilih sendiri baju yang ingin dipakai, dan suka menyarungkan stokin dan kasut. Walaupun ia terbalik tetapi kita boleh bantu untuk betulkan kesilapan tersebut. 
  • Makan; Mereka suka untuk makan sendiri dan pegang sudu mahupun menggunakan tangan untuk makan. Mungkin akan berlakunya tumpah atau bersepah makanan tersebut, dari situ mereka belajar untuk makan cara yang betul dengan dorongan kita sebagai ibu bapa. Ketika ini, jangan marah jika anak melakukan kesilapan kerana mereka sedang belajar cara yang betul. Anda juga boleh dapatkan pinggan atau mangkuk yang boleh lekat atau suction di meja seperti ini. 
  • Berus gigi dan mandi: Mereka ingin mencuba untuk gosok gigi sendiri, mulai meletakkan ubat gigi sehiggalah berus gigi atas bawah, kiri dan kanan. Di sini ada pelbagai jenis berus gigi yang menarik minat anak anda untuk berus gigi. 
  • Kebersihan: Kita boleh menggalakkan mereka dengn beritahu bahawa selepas habis makan, letakkan pinggan mangkuk di dalam singki dan sampah perlu di buang di dalam tong sampah. 
  • Perbuatan satu tempat ke tempat yang lain: Contohnya naik tangga, turun daripada kereta, tutup lampu jika ingin keluar dari bilik. 


4. Pretend Play atau Bermain Dengan Meniru Gaya

Dengan menggunakan gabungan imaginasi dan pengetahuan mereka melalui melihat keadaan di sekeliling, mereka mula membina dunia yang penuh menghiburkan mengikut tahap perkembangan mereka pada usia 2 tahun. Mereka cuba meniru situasi di depan mata mereka dan cuba membawa perkara tersebut dalam dunia mereka. Sebagai contoh

  • Mereka selalu melihat ibu masak di dapur maka mereka mula meminta ibu bapa untuk membeli set memasak dan cuba meniru gaya ibu masak di dapur. 
  • Mereka pergi ke restoran dan apabila pulang, mereka menyuruh ibu atau bapa atau adik beradik lin untuk menjadi pelanggan dan mereka akan jadi pelayan ataupun chef di restoran.
  • Mereka baru pulang daripada temujanji dengan doktor dan mereka mula belajar bagaimana untuk merawat pesakit. Dari situ mereka ingin membeli set doktor dan cuba meniru gaya doktor. Pesakit pula boleh jadi mereka menganggap patung yang mereka ada adalah pesakit yang perlu dirawat. Doctor set ada di sini.

5. Melukis dan Mewarna


Ketika umur 2 tahun ini, anak-anak sudah boleh didedahkan untuk memegang pensil atau pensil warna. Walaupun cara pegangan mereka masih dalam proses pembelajaran, tetapi beri sahaja mereka peluang untuk mereka melukis dan mewarna mengikut gaya dan tahap umur mereka. Untuk menggalakkan mereka suka mewarna, ibu bapa boleh membeli coloring book atau print out kartun kesukaan mereka. Sudah tentu mereka lebih teruja untuk mewarnakan karakter kartun yang digemari. 

Lebih 50 buku mewarna ada di sini. 




Ataupun ibu bapa juga boleh print out huruf atau nombor. Secara tidak langsung sambil mereka mewarna sambil itu mereka boleh belajar tentang huruf dan nombor mahupun tulisan jawi untuk bacaan iqra nanti. 

Set Mewarna termasuklah pencil color, crayon dan sebagainya.


6. Mengira Nombor


Anak anda yang berusia 2 tahun mungkin sudah mula tahu untuk mengira dari nombor 1 hingg 10, dan mungkin juga ada nombor yang mereka akan skip. Selalunya yang Lisa perasan untuk anak-anak Lisa, mereka mula mengenali kiraan nombor ini apabila kami bermain hide and seek, di mana anak-anak ini perlu mengira dari nombor 1 hingga 10. Contohnya Sarah akan berkata 'one, two, five six, ten' ada nombor-nombor yang dia tidak sebut ikut urutan. Tetapi tidak mengapa kerana mereka sedang belajar tentang nombor. 


Ibu bapa digalakkan untuk membuat aktviti harian yang melibatkan nombor. Aktiviti ini tidak perlu susah-susah menyediakan buku atau bahan craft, tetapi cukuplah ketika situasi naik tangga, kita sudah boleh ajar anak untuk mengira bersama-sama kiraan tangga tersebut. Selain itu, boleh juga mengira jumlah makanan yang ada dalam pinggan mereka. contohnya mereka sedang makan donut, maka kita kira bersama mereka jumlah donut di dalam pinggan yang disediakan di atas meja. 


Play mat ini juga boleh kanak-kanak belajar tentang nombor secara tidak langsung. 


7. Bunyi Huruf


Kanak-kanak zaman sekarang sebenarnya sangat mudah untuk belajar bunyi huruf di gadget. Kerana banyak sangat channel youtube yang mengajar bunyi huruf tersebut. namun begitu kita sebagai ibu bapa juga perlu turut serta mengajarkan mereka secara langsung. Sebagai contoh AAAAAA..... Selalunya anak umur 2 tahun mereka suka menjerit dan bunyinya seperti Aaaa... dari situ kita sudah boleh beritahu mereka bunyi tersebut datangnya dari huruf A. Dan boleh juga huruf M seperti Mmmmm...sedapnya makanan ni. Secara tidak langsung mereka belajar bunyi sebutan setiap huruf. 


8. Membina 


Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, perkembangan anak 2 tahun pada ketika ini mereka sudah boleh untuk membina menara menggunakan blok atau kiub permainan. Melalui kemahiran membina ini, ia membantu anak umur 2 tahun dalam pergerakan mata dan tangan. Mereka mampu menggunakan imaginasi dalam pembinaan blok ini dan mula mereka-reka apa yang perlu dibina dan lihat hasilnya. 





Sebagai ibu bapa, kita boleh menggalakkan mereka untuk membina dengan memberitahu apa yang boleh mereka bina dengan menggunakan blok atau kihb yang ada di hadapan mereka. Pada mulanya, anda mungkin boleh melakukan bersama-sama dengan anak, kemudian biarkan mereka lakukannya sendiri. 


Pelbagai jenis blok terdapat di sini 


9. Puzzles

Kebiasaannya Puzzles adalah permainan kesukaan kanak-kanak yang berusia 2 tahun kerana mereka boleh menyelesaikannya dan memberikan kepuasan kepada mereka. Tujuan utama puzzles ini adalah untuk membantu fine dan motor skill kanak-kanak. Mereka belajar untuk menyesuaikannya. Di samping ia dapat meningkatkan perkembangan kognitif kanak-kanak. Mulakan dengan puzzle yang bersaiz besar dan mudah untuk mereka menyelesaikan. Dan apabila anda lihat anak umur 2 tahun ini sudah pandai melakukannya, cadangkan pula puzzle yang lebih menyeronokkan dan mereka suka melakukannya dan saiznya sedikit kecil. 





Boleh mulakan dengan puzzle seperti ini.


10. Aktiviti Fizikal di Luar Rumah


Bagi anda yang mempunyai anak-anak yang berusia 2 tahun sudah pasti mengalami situasi di mana mereka ini terkenal dengan 'tak boleh diam', maksudnya mereka ini sangat suka berlari, melompat, memanjat, berbasikal, membaling barang dan aktiviti yang agak aktif. Itu adalah perkembangan normal yang perlu ibu bapa tahu. Cumanya kita sebagai ibu bapa hendaklah mengawal dan memberitahu dan sentiasa mengingatkan mereka tentang soal keselamatan, supaya tidak melibatkan kecederaan berat.


Anda boleh menggunakan alatan seperti di bawah untuk menggalakkan perkembangan fizikal mereka.


11. Muzik dan Menari


Lagu atau muzik Shark Doo Doo sudah tidak asing lagi bagi kanak-kanak seawal usia setahun mengenali muzik dan cara menarinya. Mungkin ada sesetengah ibu bapa, memandang enteng tentang muzik dan menari ini tetapi sebenarnya ini juga adalah satu perkembangan buat kanak-kanak pada usia 2 tahun di mana ia melibatkan pendengaran dan integrasi pergerakan badan. Sebab itulah, jika ibu bapa perasan kebanyakan taska atau pusat penjagaan kanak-kanak, mereka akan mulakan kelas dengan mendengar muzik dan lakukan pergerakan mengikut muzik tersebut kerana ia penting untuk perkembangan kanak-kanak ini selain ia dapat menghiburkan mereka.


12. Latihan ke Tandas


Seawal dua tahun, kanak-kanak sudah boleh dilatih untuk ke tandas dan sudah boleh mula meninggalkan lampin pakai buang. Lisa ingat lagi ketika mahu latih anak sulung ke tandas pada usia 2 tahun, pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi kerana ketika itu mereka ini sedang dalam proses pembelajaran baru dalam kehidupan harian. Latihan ini perlu dilakukan langkah demi langkah dan ia juga melibatkan persediaan dan komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak ini. 





Tidak dinafikan,latihan ke tandas merupakan fasa yang agak mencabar buat ibu bapa semua tetapi percayalah setiap anak berbeza kesediaan mereka dan apabila mereka betul-betul bersedia, proses ini akan menjadi sangat mudah. 


Untuk lebih menggalakkan anak-anak untuk pergi ke tandas, anda boleh sediakan tandas seperti ini.


13. Adab Dan Perlakuan Baik atau Sopan


Memahami bagaimana untuk beradab di hadapan rakan atau mereka lebih tua, merupakan perkara yang boleh ibu bapa sentiasa ingatkan kepada anak-anak mereka pada usia 2 tahun ini. Hal ini kerana ketika ini adalah masa yang agak penting untuk mereka belajar tentang adab dan perlakuan sopan di hadapan orang lain. Mereka mula belajar tentang bersosial dan waktu ini ibu bapa boleh memberi panduan dan sentiasa mengingatkan mereka cara yang betul untuk berlakuan baik. Tetapi perlu diingatkan bahawa, kanak-kanak ini perlu sentiasa diberi teguran dan bukannya cukup sekali dinasihatkan dan ibu bapa anggap ia sudah cukup untuk membentuk perlakuan kanak-kanak yang berusia 2 tahun ini.


Ia mengambil masa untuk mereka faham cara bersosial dengan orang lain serta bagaimana untuk beradab sopan. 


14. Rutin Harian


Seawal usia 2 tahun kanak-kanak sangat suka dengan rutin harian dan ini juga merupakan satu perkembangan positif bagi mereka. Sebagai ibu bapa, kita perlu tetapkan rutin harian buat mereka sebagai contoh, selepas bangun tidur apa yang perlu mereka lakukan seperti pergi mandi dan berus gigi, kemudian bersarapan pagi dan mula bermain dengan adik beradik yang lain ataupun boleh membuat aktiviti membantu ibu bapa di rumah. 


15. Belajar Mengenali Emosi


Akhir sekali, kanak-kanak yang berusia 2 tahun mula mengenali emosi mereka dan cuba untuk mengekspresikannya. Jika marah, mereka mungkin akan baling barang, menggigit atau menjerit. Ketika ini, ibu bapa tidak boleh marahkan mereka apabila kanak-kanak cuba mengekspresikan perasaan dan emosi tersebut malah ibu bapa perlu memberi panduan dan membantu kanak-kanak ini menguruskan emosi, bukannya memarahi mereka pula. 


Memahami dan mengenali setiap perkembangan peringkat umur kanak-kanak bukanlah bermaksud ibu bapa mahu untuk membuat perbandingan anak kita dengan anak orang lain tetapi memahami perkembangan mereka adalah tujuan utamanya supaya kita dapat beri yang terbaik buat mereka dan dapat meningkatkan keupayaan mereka sejajar dengan perkembangan mengikut tahap umur mereka. 


Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk ibu bapa sekalian. Kongsikan artikel ini di ruangan media sosial anda supaya lebih ramai ibu bapa sedar betapa pentingnya mereka mengambil tahu berkenaan 15 perkara yang perlu anak 2 tahun mula belajar. 


*Sumber daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

*Pediatric Occupational Therapist, Marissa.




No comments:

Powered by Blogger.