Resepi Kek Pandan Gula Melaka


May 28, 2020
Rasa macam sedap pula bila tengok ramai orang post dalam group masak apa hari ini tentang kek pandan gula melaka. Tiba-tiba Lisa jadi teringin nak makan. Maka bermulalah kisah kek pandan gula melaka di pagi raya yang indah. Entah macam mana, pagi raya Lisa boleh bangun sangat awal dan terfikir, best juga kalau masak kek pandan gula melaka ni dan boleh bawa sekali untuk potluck dengan rakan-rakan Lisa yang yang tak dapat balik raya ke Malaysia. Kebanyakan sahabat Lisa di Dubai, tidak dapat pulang ke Malaysia disebabkan flight sangat terhad dan kami perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di hotel yang telah ditentukan. Lagi menyedihkan kebanyakan tiket kami pulang ke Malaysia sebelum hari raya telah dibatalkan oleh pihak syarikat penerbangan dan kini kami tengah mohon untuk refund. Semoga semuanya dipermudahkan urusan. Hal ini, membuatkan Lisa dan sahabat yang lain mengambil keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia dan menyambut hari Raya Aidilfitri di perantauan sahaja.

Sebenarnya, untuk pengetahuan anda Lisa ni bukanlah peminat kek pandan cumanya bila dah selalu orang post dalam media sosial dan kita pula kadang-kadang tengah lapar, rasa macam sedap juga kalau cuba buat sendiri. Maklumlah di Dubai ni tiada orang Malaysia yang mengambil tempahan membuat kek. Yang ada hanyalah mereka yang mengambil tempahan untuk kuih muih tradisional sahaja atau pun makanan lauk pauk masakan melayu.




Nak tak nak, kena buat sendiri juga kek pandan gula melaka ni dek memenuhi kehendak sendiri. Baiklah Lisa kongsikan resepi kek pandan gula melaka yang bagi Lisa agak mudah dan gerenti menjadi. Cumanya kali ini Lisa buat versi cupcake, supaya mudah untuk sahabat-sahabat Lisa nak ambil untuk makan. Resepi Kek Pandan Gula Melaka ini daripada Azie Kitechen cuma ada beberapa Lisa ubah sedikit mengikut kesesuaian barang yang Lisa ada.

Resepi Kek Pandan Gula Melaka Yang Senang Disediakan


Bahan-bahan


Bahan A

150gm Butter
1 cawan gula icing
1 sudu kecil esen vanila

Bahan B

2 Biji telur Gred A

Bahan C

1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder

Bahan D

100ml santan
3 sudu pati pandan(daun pandan dikisar dengan air dan ditapis)
Pewarna hijau(mengikut kepekatan warna yang diingini)

Cara-caranya 


1. Ayak bahan C.
2. Putarkan bahan A sehingga kembang menggunakan whisk. Kemudian, masukkan satu persatu bahan B. Sambil putarkan whisk.
3. Masukkan bahan C dan D secara berselang seli ke dalam bekas yang telah dicampurkan bahan A dan B tadi.
4. Sudukan ke dalam bekas paper cup.
5. Panaskan oven 150 darjah dan bakar cupcake selama 20-25 minit.

Resepi Buttercream Kek Pandan Gula Melaka


Bahan-bahan


3 biji telur putih
1 cawan gula icing
250gm butter
3 sudu besar santan
sedikit esen vanila

Cara-caranya


1. Putarkan telur putih sehingga bertanduk. Ambil masa 15-20 minit untuk menghasilkannya.
2. Kemudian, masukkan gula icing dan putar kembali.
3. Maukkan butter sehingga kembang.
4. Akhir sekali masukkan santan dan esen vanila.
5. Apabila nampak bahan tersebut dah agak kental sedikit, masukkan dalam piping bag dan nozel mengikut kesukaan bentuk anda.
6. Apabila cupcake sudah sejuk, boleh piping di atasnya.

Resepi Gula Melaka


Bahan-bahan

3 sudu besar brown sugar/gula melaka
5 susu besar air

Cara-caranya

1. Satukan kedua bahan di atas dan panaskan sehingga pekat. Jika mahu betul-betul pekat boleh tambah sedikit tepung jagung.

Lisa dapat buat kek pandan gula melaka kira-kira 20-25 biji paper cup. Dan buttercream juga ada lebih banyak bila guna sukatan 3 biji telur putih dan 250gm butter. Anda boleh buat anggaran supaya tidak banyak membazir nanti.

No comments:

Powered by Blogger.