Resepi Nasi Air Yang Paling Cepat Disediakan


October 27, 2019
Pertama kali Lisa makan nasi air ni ketika Lisa berada di Qatar. Jiran dan sahabat Lisa yang sama-sama datang dari Malaysia hantar makanan kepada kami untuk makan malam. Petang tu, sahabat Lisa message kata 'Malam ni kau jangan masak tau Lisa, aku nak bagi nasi air kat kau nih'. Waktu tu Lisa tergelak sebab first time dalam hidup Lisa dengar makanan yang bernama nasi air. Petang tu, sahabat Lisa hantar makanan dan dia kata ni lah nasi airnya. Lisa berkerut. Macam ni je. Menarik.


Lisa cuba rasa nasi air ni. Ya ALLAH, memang sedap sangat. Walaupun penyediaannya sangat mudah tapi rasanya sangat sedap. Sejak itu, Lisa terus jatuh cinta dengan makanan ini yang berasal dari Kelantan. Lisa tanya kepada sahabat, cara dan resepi nasi air ini.

Alhamdulillah dia kongsikan dengan Lisa dan hari ini Lisa pula nak kongsikan resepi nari air yang paling cepat disediakan. Kalau mood anda tengah malas nak masak tetapi nak juga masak maka resepi ini sangat sesuai untuk dilakukan.

Bahan-bahan Nasi

2 cawan beras
5-6 cawan air

Cara-caranya
1. Basuh beras sekali atau dua kali mengikut cara anda seperti biasa.
2. Tambahkan air 2 hingga 3 kali ganda dari kuantiti cawan beras. Supaya apabila sudah masak, nasi yang telah ditanak menjadi sangat lembik seperti bubur.

Bahan-bahan sup

3 Serangkai
2 biji bawang putih
2-3 hiris hali
3 cawan air
1 kiub stock ayam
1 sudu minyak masak untuk menumis
2-3 cubit garam
4 hingga 5 potong isi ayam

Cara-caranya

1. Rebus isi ayam dengan air. Setelah ayam masak, asingkan ayam dan air rebusan tersebut.
2. Tumiskan 3 serangkai, bawang putih dan halia yang telah ditumbuk sehingga warna keperengan.
3. Masukkan bahan tumis tadi ke dalam periuk air rebusan dan panaskan kesemua bahan tersebut di atas api.
4. Masukkan kiub stock ayam dan masukkan garam secukup rasa. Jika rasa sup anda kurang memuaskan, anda boleh tambah dengan sup bunjut.
5. Apabila sup sudah menggelegak, tutup api.
6. Carikkan potongan ayam tadi seperti mancis.

Bahan-bahan cili kicap

5 biji cili api
2 biji bawang putih
1 sudu kecil cuka
2 sudu kicap
Sedikit air

Cara-caranya

1. Blend atau tumbuk bawang putih dan cili.
2. Setelah lumat, campurkan bahan tumbuk sekali dengan cuka, air,garam, gula dan kicap ke dalam mangkuk.

Sudah siap. Boleh sediakan nasi air ini bersama daun bawang, daun sadri, bawang goreng, kacang dan ikan bilis goreng.

Ikan bilis di Dubai ni nampak besar-besar pula tapi rasanya lebih kurang dengan ikan bilis di Malaysia.

Apabila Lisa buat nasi air ini, suami dan anak Lisa mesti akan tambah banyak kali sebab ia sangat sedap dan seperti mahu dan nak lagi.

Jangan lupa kongsikan resepi ini dengan sahabat dan ibu-ibu yang lain kerana resepi ini sangat mudah disediakan dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk menyediakannya.

No comments:

Powered by Blogger.