Antara Hospital Kerajaan dan Hospital Swasta Mana satu Pilihan Anda Untuk Bersalin?


December 10, 2018
Selain dilema yang sering dihadapi oleh si ibu iaitu ingin membuat scan baby pada usia kandungan bila dan D yang mana perlu dibuat terdahulu seperti mana yang Lisa ada tulis di entry post sebelum ini, dilema yang hampir bersalin perlu dihadapi oleh si ibu adalah antara hospital kerajaan dan hospital swasta mana satu pilihan si ibu. Jika anda sedang bekerja di syarikat swasta dan syarikat tersebut mempunyai elaun untuk bersalin dan mereka cover sepenuhnya kos bersalin maka Lisa sarankan anda boleh terus memilih hospital dan klinik swasta panel yang syarikat anda telah maklumkan tetapi jika anda bekerja kerajaan atau anda tidak bekerja mana-mana agensi swasta mahupun kerajaan, anda perlu membuat sedikit pertimbangan di mana antara hospital kerajaan atau hospital swasta yang mana satu perlu anda pilih untuk bersalinkan anak anda nanti.

Oh ya! Sebelum Lisa lupa, anda juga boleh tanyakan pada suami adakah syarikat beliau mempunyai elaun bersalin untuk si isteri, jika ya maka anda boleh tersenyum untuk memilih bersalin di hospital swasta.



Sebelum Lisa beri tips tambahan untuk bersalin di Hospital Kerajaan atau Hospital Swasta, biar Lisa terangkan serba sedikit mengenai apa yang perlu anda tahu mengenai kedua-dua hospital tersebut kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Apabila anda sudah tahu, barulah anda boleh bijak membuat pilihan dan belajarlah dari kesilapan yang dihadapi oleh rakan dan orang sekeliling Lisa yang bakal Lisa kongsikan nanti.

Hospital Kerajaan 

Kemudahan bagi hospital kerajaan sebenarnya sangat banyak tetapi pada masa yang sama kemudahan yang banyak tersebut perlu dikongsi dengan ramai orang. Antara kemudahan yang disediakan adalah:

  • Kawasan Parking Kereta untuk Pelawat
  • Doktor dan doktor pakar yang berpengalaman serta jururawat yang terlatih
  • Ruangan menunggu untuk bersalin seperti katil dan kerusi disediakan
  • Perkhidmatan dan kemudahan bersalin sangat teratur.
  • Ruangan menunggu disediakan untuk bapa atau penjaga.
  • Labour room yang selesa disediakan.
Dan sebenarnya, perkara mengenai kemudahan hospital kerajaan adalah bergantung kepada tempat hospital tersebut. Contohnya, warga selangor sudah sedia maklum bahawa hospital kerajaan Klang agak padat untuk bersalin dan anda boleh ada pilihan untuk bersalin di hospital kerajaan Shah Alam yang baru dibuka, ia lebih selesa dan masih baru dibuka.

Sebelum anda bersalin, anda perlu bertanya kepada orang sekeliling yang pernah ada pengalaman bersalin di hospital kerajaan di kawasan anda supaya anda mudah mendapat gambaran keadaan di sana nanti ketika bersalin.

3 perkara ini yang menjadi ibu bapa membuat pertimbangan untuk memilih hospital kerajaan atau tidak adalah:

  • Waktu bersalin, adakah suami boleh berada di sisi isteri?
  • Adakah suami boleh melawat bila-bila masa sahaja ketika isteri sudah bersalin?
  • Adakah si isteri dapat 1 katil dan bilik persendirian atau perlu berkongsi dengan ramai orang selepas bersalin?
Disebabkan persoalan 3 perkara inilah, membuatkan ramai ibu bapa memilih untuk bersalin ke hospital swasta. Tetapi untuk pengetahuan anda, hospital kerajaan sekarang sudah menyediakan kemudahan tersebut antaranya beberapa hospital sudah membenarkan si ayah untuk berada di sisi ibu ketika bersalin dan ada beberapa hospital menyediakan kemudahan untuk 1 katil persendirian untuk si ibu dan si ayah boleh melawat bila-bila masa sahaja atau mahu duduk sekali pun boleh dan program ini dipanggil FPP iaitu Full Payment Patient di mana si ayah perlu membayar segala kos rawatan si ibu sepanjang berada di hospital kerajaan tersebut tetapi bayaran tersebut tidaklah setinggi seperti di hospital swasta. 

Ini adalah senarai Hospital yang menyediakan FPP:

Hospital Kuala Lumpur
Hospital Ampang
Hospital SGg. Buloh
Hospital Selayang
Hospital Putrajaya
Hospital Klang
Hospital Seremban
hospital Temerloh
Hospital Terengganu
Hospital Kota Bharu 
Hospital Kuantan

Untuk tempahan di FPP ini, anda perlu membuat booking seawal usia kandungan sudah masuk 7 bulan kerana anda akan ada beberapa kali checkup dengan Doktor pakar yang telah anda pilih nanti ketika booking. Untuk dapatkan perkhidmatan FPP, anda dinasihatkan untuk telefon pihak hospital tersebut dan tanya secara detail apa terma dan syaratnya. 

Tips Bersalin di Hospital Kerajaan:

1. Pastikan anda bawa buku merah sebagai rujukan untuk doktor dan jururawat. Keperluan bayi juga jangan dilupakan.

2. Anda perlu bersedia jika tiada katil yang mencukupi ketika menunggu untuk bersalin kerana ibu-ibu yang lain juga sedang menunggu masa untuk bersalin.

3. Perlu bersabar untuk menunggu giliran.

4. Membawa sedikit bekalan makanan seperti kurma,susu atau air kosong untuk masuk ke ruangan menunggu bersalin.

5. Suami perlu menunggu di ruangan yang disediakan apabila si isteri sudah ingin bersalin, barulah jururawat akan memanggil si bapa.

6. Bagi yang muslim, anda perlu bawa extra tudung kerana kemungkinan ada doktor lelaki yang akan bertugas dan selepas bersalin, jika anda mendapat wad yang perlu berkongsi dengan ramai ibu-ibu yang sudah bersalin kemungkinan pelawat terdiri daripada lain jantina.

7. Bagi anda yang pertama kali ingin bersalin di hospital kerajaan, Lisa sarankan supaya anda telefon dahulu hospital tersebut dan minta mereka untuk beritahu prosedur cara bersalin di hospital itu kerana setiap hospital kerajaan lain sedikit caranya. Sebagai contoh di Hospital Sg. buloh, apabila anda ada tanda-tanda untuk bersalin tetapi bukaan bawah masih 2 atau 3cm, anda akan ditempatkan di ruangan menunggu bersama ibu-ibu yang ingin bersalin juga dan diasingkan suami isteri. bila isteri betul-betul mahu bersalin barulah si bapa dipanggil tetapi lain pula di hospital kerajaan yang lain, ada yang suami boleh tunggu bersama-sama ketika bukaan baru 2cm tetapi bila mahu bersalin, si suami diminta tunggu di luar.  Sebab itulah, anda perlu telefon hospital kerajaan yang anda merancang untuk bersalin supaya anda dapat sedikit gambaran bagaimana cara bersalin di hospital tersebut.



Hospital Swasta

Kemudahan di hospital swasta juga banyak sebenarnya dan pada zaman ini, terdapat banyak sangat hospital swasta didirikan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Maka anda boleh memilih hospital atau klinik swasta untuk bersalin dan kemudahan yang disediakan oleh pihak swasta tidak dikongsi dengan ramai orang sebab itulah anda akan dengar orang yang mempunyai pengalaman bersalin di hospital swasta lebih selesa daripada hospital kerajaan.

Di hospital swasta, suami boleh temankan isteri ketika bersalin dan si isteri akan dapat katil serta bilik persendirian. Waktu melawat tiada had dan sesiapa mahu melawat juga dibenarkan. Mungkin sebab itulah, ramai yang memilih hospital swasta pada masa ini berbanding hospital kerajaan. Tambahan pula mereka yang mempunyai elaun bersalin dari syarikat mereka bekerja serta insurans yang telah diambil sebelum ini.

Berikut merupakan senarai hospital swasta yang terkenal di kalangan ibu-ibu yang mahu bersalin.
Hospital KPJ
Hospital Pantai
Hospital Andorra
Hospital Pusrawi
Hospital Columbia
Hospital Gleneagles
Dan banyak lagi hospital dan klinik swasta yang menyediakan perkhimatan untuk bersalin.

Tips Bersalin di Hospital Swasta:

1. Selalunya prosedur hospital swasta, anda diminta sekurang-kurangnya buat dua kali check up di hospital tersebut supaya anda akan dipantau oleh seorang sahaja doktor dan doktor tersebut yang akan bantu anda untuk bersalin. Mudah bagi mereka untuk tahu kondisi ibu dan bayi. Maka dalam hal ini, anda perlu telefon pihak hospital swasta tersbeut berapa kali check up yang diperlukan untuk membolehkan anda bersalin di hospital tersebut.

2. Semasa ingin bersalin, pastikan bawa keperluan bayi dan ibu. Bapa boleh teman ibu 24 jam ketika mula keluar tanda walaupun bukaan hanya 2cm sehinggalah ibu ingin bersalin.

3. Jika anda tiada insurans dan syarikat yang anda bekerja tidak menyediakan elaun bersalin, maka anda perlu menyediakan lebihan budget untuk kos bersalin. Purata kos bersalin secara normal di swasta adalah Rm2500 hingga Rm4000 dan ceaser adalah Rm5000 hingga Rm10000. Untuk langkah selamat, anda perlu menyediakan sekurang-kurangnya Rm8000 untuk kos bersalin di hospital swasta kerana kita tidak tahu kemungkinan apa yang akan berlaku.

Pernah beberapa rakan yang Lisa kenal, mereka bersalin di hospital swasta dan mereka hanya membuat anggaran hanya Rm3000 hingga 5000 sahaja budget yang diperlukan tetapi tiba-tiba si isteri perlu ceaser maka kos bertambah sehingga menjadi Rm9000, maka mereka menghadapi masalah kekurangan wang untuk menampung kos perubatan tersebut. Buatlah budget lebih, jangan kurang.

Mungkin ada sesetengah pendapat mengatakan, bersalin sama ada di hospital kerajaan mahupun hospital swasta sebenarnya sama sahaja iaitu sakit bersalin yang dialami adalah sama yang penting bayi dan ibu sihat. Ya memang ada betulnya. Namun, ia bergantung kepada tahap kemampuan serta keinginan pasangan tersebut. Setiap orang lain citarasanya. Maka kita perlu hormat setiap keputusan oleh pasangan tersebut.

Pengalaman Bersalin di Hospital Kerajaan


Pengalaman Lisa sendiri bersalinkan anak no.1 iaitu Ameer Fareeq adalah di hospital kerajaan. Sebelum bersalin Lisa sudah membuat survey beberapa hospital swasta dan hospital kerajaan di sekitar Shah Alam dan Selangor. Pada masa itu, hospital Shah Alam masih belum dibuka.

Pada mulanya, Lisa merancang untuk bersalin di hospital kerajaan di Banting kerana dekat dengan mak mertua tetapi apabila doktor cek, bayi dalam kandungan besar maka mereka tidak mahu mengambil risiko dan mereka nasihatkan Lisa untuk pergi ke hospital Klang kerana ada pakar di sana. Namun, bila Lisa tanya beberapa orang, mereka kata hospital klang sangat padat dan malam itu Lisa pergi ke hospital Putrajaya atas beberapa nasihat rakan dan saudara mara.

Bila doktor cek, mereka kata bukaan masih kecil dan perlu pulang ke rumah dahulu.

Tiba di rumah dan keesokan harinya, ada keluar darah maka itu adalah tanda-tanda untuk bersalin. Suami Lisa terus minta cuti dan bawa Lisa ke Hopsital Sungai Buloh kerana kakak Lisa kata hospital tersebut lebih selesa dan pakar pun ada. In case, ada komplikasi, mereka akan take part untuk handle.

Lisa tiba di Hospital Sungai Buloh dalam pukul 11 pagi dan daftar masuk. Suami Lisa diminta tunggu di ruangan menunggu dan Lisa pula diminta tunggu bersama ibu-ibu yang lain untuk bersalin.

Pada pukul 2 pagi keesokannya, baru pecah ketuban dan Fareeq dilahirkan pada pukul 6.30 pagi.

Agak lama juga Lisa menunggu untuk bersalin. Tapi alhamdulillah bayi lahir dengan selamat dan sihat. Bila bayi keluar barulah suami Lisa masuk ke bilik bersalin. Nak ikutkan, suami dibenarkan bersama isteri untuk bersalin tetapi suami Lisa tidak perasan yang pihak hospital telefon dia beberapa kali kerana masa itu dia sedang bersarapan.

Setelah selesai urusan uri dan bayi dibersihkan, suami Lisa mengazankan bayi dan alhamdulillah Lisa terus dapatkan susu Fareeq. Setelah 4 jam barulah, Fareeq bangun dan susu kembali.

Segala urusan bayi semuanya diuruskan oleh jururawat termasuklah mandi dan memakaikan baju bayi. Lisa hanya terbaring di atas katil. Esoknya, setelah doktor cek najis bayi dan keadaan bayi dalam keadaan baik, barulah Lisa boleh discharge. Semasa discharge, kaunter bayaran kata kami hanya bayar Rm16 sahaja untuk semua perkhidmatan yang diberikan selama 3 hari 2 malam di hospital kerajaan sungai buloh.

Alhamdulillah atas rezeki kemudahan melahirkan anak pertama ini. Semoga kemudahan ini juga akan Lisa alami ketika anak kedua ini. Amin.

Semoga perkongsian Lisa ini membantu sedikit sebanyak untuk ibu-ibu di luar sana untuk membuat keputusan sama ada mahu bersalin di hospital kerajaan mahupun hospital swasta.



3 comments:

  1. Replies
    1. u r welcome dear. and thanks for stopping by here. :)

      Delete
  2. transform your body and slow the aging process you will have to invest in high intensity exercise. dailytramadol.com website

    ReplyDelete

Powered by Blogger.