7 Cara Berkesan Menaikkan HB Ibu Mengandung


January 08, 2019
Salah satu perkara yang paling dirisaukan oleh ibu mengandung ketika check up di Klinik kesihatan atau berjumpa dengan doktor adalah bacaan HB iaitu bacaan Hemoglobin. Bagi ibu mengandung untuk mudah faham maksud HB ini secara ringkasnya adalah molekul protin yang bergabung dengan oksigen dan karbon dioksida melalui sistem peredaran darah di bawa ke seluruh tisu-tisu dalam badan. Kalau bacaan HB rendah maka ibu mengandung akan mengalami anemia.



Sebenarnya, Lisa pun agak blur bab HB ni tapi sejak mengandung anak pertama baru faham kepentingan menjaga bacaan HB.

Bacaan HB yang cantik dan bagus adalah 11 ke atas.

Bagi ibu mengandung, jangan pandang remeh dengan bacaan HB ni, kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada si ibu dan si anak dalam kandungan. Antara kesan negatifnya adalah:


  • Si ibu mudah pening dan pitam.
  • Si ibu mudah letih dan mengalami sesak nafas.
  • Si ibu kemungkinan akan berlaku pendarahan
  • Si anak mungkin akan lahir pramatang
  • Pertumbuhan janin anak akan terbantut.

Waktu mengandungkan anak pertama, alhamdulillah Lisa tiada masalah HB ni tetapi untuk anak kedua, Lisa pernah sekali bacaan HB bawah 11 dan doktor cuba nasihatkan Lisa untuk makan makanan yang boleh menaikkan bacaan HB supaya ia berada di tahap yang baik dan bagus.

Anda juga boleh baca entry post Lisa tentang 3 pilihan vitamin untuk ibu mengandung bagi membantu menaikkan HB. 

Di sini, Lisa nak kongsikan dengan ibu sekalian bagaimana Lisa boleh naikkan bacaan HB secara berkesan dan ada juga tips di bawah yang dilakukan oleh rakan-rakan Lisa yang mengamalkannya ketika mengandung.

7 Cara Berkesan Menaikkan HB Ibu mengandung


Makan buah kurma

Sejak anak pertama lagi, Lisa memang amalkan makan buah kurma ni walaupun ketika itu Lisa tidak mengandung kerana ia adalah salah satu makanan sunnah dan banyak khasiatnya. Makan buah kurma ini perlu konsisten. Lisa ambil setiap pagi iaitu 2 hingga 3 biji sehari. Perlu diingatkan buah kurma ini sangat manis, bagi anda yang ada masalah kencing manis, Lisa cadangkan ambil dalam kuantiti yang sedikit. Jangan terlalu banyak kerana ia mengandungi gula yang tinggi. 

Makan Madu Asli

Lisa akan ambil 1 sudu madu asli ni ketika pagi atau petang. Cukup sehari sekali. Khasiat madu asli ni pun bagus sangat untuk ibu mengandung. Ia juga makanan sunnah. Bagus untuk diamalkan.

Makan Kerang

Selain makanan sunnah, lisa juga amalkan makan kerang iaitu 2 hari sekali Lisa akan makan semangkuk kerang rebus. Tapi Lisa tak lalu nak makan kerang rebus macam itu sahaja maka Lisa akan cicah kerang rebus ini dengan sos tambah kicap serta bawang merah potong, digaul bersama. Barulah Lisa boleh makan kerang rebus ini. Kalau anda yang tak boleh nak telan kerang rebus, anda boleh juga makan char kuew teow kerang atau rendang kerang. 

Makan Sayuran Hijau

Apa yang doktor sarankan adalah banyakkan makan sayuran hijau seperti bayam, sawi dan sebagainya. Sayuran ini juga dapat membantu menaikkan bacaan HB tapi perlu diingatkan bahawa pengambilan sayuran hijau ini bukan hanya 1 sudu sahaja tapi 2 hingga 4 sudu sayuran hijau dan barulah akan nampak kesan positif terhadap bacaan HB. Ini adalah doktor yang sarankan kepada Lisa ketika bacaan HB Lisa rendah. 

Makan Daging

Selain daripada makan makanan di atas untuk menaikkan HB bagi ibu mengandung adalah makan daging merah. Ia juga dapat bantu menaikkan bacaan HB secara berkesan. Mengikut pengalaman Lisa sendiri, lepas Lisa amalkan makan daging 2 hingga 3 kali seminggu, alhamdulillah bacaan HB nampaknya semakin meningkat. Dari segi masakan daging merah ini, terpulang kepada anda mahu pilih jenis masakan yang mana. Yang penting jangan selalu bersantan seperti kari dan masak lemak, kerana kandungan kolestrolnya agak tinggi dan ia akan beri kesan pula kepada bacaan BP. 

Makan Jambu Batu

Setakat Lisa mengandung anak kedua ni, Lisa belum lagi amalkan makan jambu batu ni tetapi ada beberapa kawan Lisa dan kakak Lisa sendiri mengamalkan makan jambu batu ini, bacaan HB mereka semakin bagus. Kerana mereka tidak lalu nak makan kerang dan sayuran hijau, maka mereka menggantikannya dengan makan buah jambu batu. Nampaknya ada kesan positif terhadap bacaan HB. 

Makan Ikan Bilis 

Ada juga nurse yang Lisa jumpa di Klinik Kesihatan menasihatkan Lisa untuk banyakkan makan ikan bilis tetapi bukanlah dalam kuantiti yang banyak. Cukuplah 2 hingga 4 kali seminggu. Ikan bilis ini boleh dibuat sambal ikan bilis dan makan bersama nasi lemak atau buat resepi ikan bilis kicap. Nurse kata ikan bilis ini juga membantu menaikkan HB ibu mengandung. 

Sebenarnya banyak lagi tips dan cara berkesan menaikkan HB bagi ibu mengandung tetapi setakat ini 7 cara ini memang berkesan untuk diamalkan. Bukan Lisa seorang sahaja yang sudah amalkannya dan nampak kesannya tetapi ramai lagi ibu yang di luar sana sudah amalkannya dan mendapat kesan positif bagi menaikkan HB ketika mengandung. 

Semoga pekongsian Lisa yang tidak seberapa ini dapat membantu ibu mengandung untuk menaikkan HB. InsyaALLAH, kita berusaha untuk menjadi lebih baik dari segi kesihatan dan diri kita sendiri. 

Bagi anda yang ada petua atau tips cara untuk naikkan bacaan HB ketika mengandung, Lisa alu-alukan untuk anda kongsikan bersama di ruangan komen, supaya pembaca di blog Lisa dapat manfaatnya sekali. :) 

No comments:

Powered by Blogger.