8 Tips Bekerja Dari Rumah Supaya Kekal Produktif Di Musim PKP( Perintah Kawalan Pegerakan)


March 25, 2020
Sejak Perdana Menteri Malaysia mengumumkan tentang Perintah Kawalan Pergerakan pada seminggu yang lalu, Lisa lihat ramai ibu bapa yang biasa bekerja di pejabat terpaksa bekerja di rumah kini mula mengadu tentang pengurusan masa dan boleh menghasilkan kerja yang produktif walaupun dikelilingi anak kecil mahupun keluarga besar yang duduk dalam satu bumbung. Ya, ia bukanlah mudah dan ia mengambil masa untuk kita membiasakan diri dalam situasi tersebut. Untuk pengetahuan anda, Lisa mula bekerja dari rumah sejak 3 tahun yang lalu apabila Lisa mula berpindah di Qatar. Dan bagi kami yang duduk di negara Timur tengah, istilah PKP itu adalah biasa ketika musim panas terik sehingga suhu mencapai 50 darjah. Pilihan yang kami ada dengan anak-anak adalah sama ada duduk dalam rumah diam-diam atau pun pergi ke shopping mall yang ada aircond. Cuma bezanya, kami masih ada dua pilihan berbanding pada masa ini, pilihan yang kita ada hanyalah duduk rumah sahaja.

Pada mulanya memang Lisa rasa sangat tertekan kerana Lisa dulu sangat aktif dalam bidang kerjaya yang Lisa pilih sebelum ini dan tiba-tiba terpaksa duduk dalam rumah sahaja dan hanya menghadap muka anak dan dinding. Dan masa kami di Qatar, rumah kami sangatlah kecil sehinggakan kami solat di dapur dan jarak Tv dan katil hanya satu langkah sahaja. Bayangkanlah ketika itu emosi Lisa bagaimana. Alhamdulillah, suami Lisa selalu bagi kata-kata semangat sehingga kami dapat harungi kisah suka duka bersama. Mungkin luaran orang nampak kita gembira tapi hakikatnya perasaan kita sedang bersedih. Tapi itulah orang kata masam masin manis kehidupan bekerluarga.

Sejak itu, Lisa mula biasakan diri untuk bekerja dari rumah dan alhamdulillah ketika ini sudah masuk tahun keempat Lisa masih bekerja dari rumah. Ramai yang tanya apa pekerjaan Lisa buat di rumah? Sebenarnya sejak Lisa berhenti dari kerjaya sebelum ini, Lisa mula berjinak dengan bidang yang Lisa pernah minat semasa sekolah menengah dahulu iaitu bidang penulisan. Kini Lisa lebih aktif membuat penulisan di blog sendiri serta mengambil upah menulis di beberapa laman web yang memerlukan penulis belakang tabir.

Di sini Lisa nak kongsikan dengan anda 10 Tips Bekerja Dari Rumah Supaya Kekal Produktif Di musim PKP( Perintah Kawalan Pergerakan) ini. InsyaALLAH dengan 10 tips ini boleh memberi sedikit inspirasi dan idea kepada anda yang masih dalam proses membiasakan diri bekerja dari rumah sambil dikelilingi mereka yang tersayang

1. Jaga Rutin Pagi


Pernah tak anda baca buku-buku inspirasi yang ditulis oleh mereka yang berjaya terutama sekali mereka dari negara barat di mana mereka berkongsi kunci utama kejayaan mereka pada hari ini adalah salah satunya disebabkan rutin harian pagi dimanfaatkan sepenuhnya. Sedangkan dalam islam sendiri menganjurkan kepada kita supaya menjaga rutin harian pagi bermula dengan solat subuh kemudian lakukan perkara yang bermanfaat bukanya kembali ke tempat tidur. Jika sebelum ini, ketika anda bekerja, anda biasa bangun awal pagi maka lakukanlah perkara yang sama ketika PKP ini. Rutin pagi perlu dijaga dengan baik dan anda akan nampak bahawa anda mempunyai banyak masa berbanding sebaliknya. Mungkin sebelum ini selepas anda bersarapan anda akan bergegas menaiki kereta atau kenderaan awam untuk menuju ke tempat kerja dan mungkin ia mengambil masa 15 hingga 30 minit untuk tiba tetapi kali ini anda mempunyai masa tersebut dan boleh digantikan dengan perkara yang bermanfaat seperti bersenam, membaca buku motivasi atau sebagaiya.




2. Tetapkan Matlamat atau Goal Setiap Hari.


Pastikan setiap hari anda mempunyai matlamat atau goal yang perlu dicapai pada hari tersebut. Iainya sama seperti anda bekerja cuma bezanya adalah tiada siapa yang pantau di depan mata. Sebagai contoh dalam situasi Lisa sendiri, Lisa perlu siapkan artikel dan buat beberapa kerja marketing yang mempunyai deadline tertentu maka Lisa sudah perlu list apa yang perlu dibuat setiap hari (to do list).



3. Pastikan 'Goal' Tercapai


Apabila sudah ada goal, maka anda perlu berusaha untuk mencapainya. Sekiraya goal tersebut tidak dapat dicapai, mungkin anda perlu bawa ia keesokan harinya dan membuatkan kerja anda semakin bertambah. Nak atau tidak, anda perlu juga mencapai matlamat tersebut pada hari itu supaya beban kerja tidak menambah.

4. Keutamaan


Dengan situasi anak berada dekat dengan kita, ia berpotensi untuk fokus kita terganggu kerana mereka juga inginkan perhatian kita tetapi pada masa yang sama kita juga ada tanggungjawab terhadap majikan atau syarikat yang menyalurkan rezeki kepada keluarga. Maka berlakulah dilema di kalangan ibu atau bapa yang bekerja di rumah. Sebab itulah, anda perlu faham dan tetapkan apa keutamaan anda. Lisa pernah menonton rancangan Prof. Muhaya yang berpesan kepada penonton iaitu manusia yang tiada keutamaan adalah manusia yang tiada kehidupan. Dan keutamaan ini bergantung mengikut situasi dan masa tertentu. Sebagai contoh, anda sedang membuat kerja dan anak pula menangis nak minta susu. Maka anda perlu tahu mana satu lebih utama. Jika anda meneruskan kerja tanpa menghiraukan si anak, lama-kelamaan anda menjadi semakin tertekan dan mula menyalahkan si anak sedangkan itulah masanya untuk dia mengisi perut yang lapar. Ingatlah anak tidak akan menangis tanpa sebab. Jika kita penuhi apa yang mereka perlukan, selepas itu mereka akan diam dan leka dengan apa yang mereka buat ketika itu.

5. Kualiti vs Kuantiti


Bercakap soal kualiti vs kuantiti, 3 hari lepas suami Lisa bersuara setelah beberapa hari dia bekerja dari rumah sejak kerajaan UAE menganjurkan mereka bekerja dari rumah. Suami Lisa kata, 'I rasa kerja I lagi cepat siap dan I boleh capai apa goal yang nak achieve walaupun I just buat kerja  a few hours berbanding duduk di office sampai 7 hingga 9 jam sehari." Ha nampak tak di situ bahawa tidak semestinya anda duduk di office lama tetapi ada banyak kerja masih tidak siap berbanding anda duduk di rumah tetapi anda mampu buat kerja dan ia hanya mengambil beberapa jam sahaja. Masa yang selebihnya boleh diluangkan kepada keluarga dan yang lain.

6. Ada Masa Rehat


Walaupun kita mempunyai kerja yang banyak dan kemungkinan orang atasan sentiasa call untuk tanya perkembangan kerja kita, tetapi kita juga perlu menyediakan masa rehat untuk diri sendiri. Mungkin di pejabat masa rehat anda, digunakan untuk berbual dengan rakan atau minum kopi di pantry , lain pula di rumah. masa rehat anda adalah bermain dengan anak dan melakukan aktiviti membantu keluarga. Nampak seperti lebih memenatkan tetapi percayalah, anda lebih gembira melakukannya. Memudahkan urusan keluarga, InsyaALLAH ALLAH memudahkan urusan kita.

7. Sediakan Tempat Tetap Untuk Bekerja


Lisa lihat ramai yang mempunyai tempat bekerja dalam rumah seperti pejabat kecil khas dibuat di dalam rumah dan tidak kurang juga membuat kerja di meja dapur. Di mana pun tempat kita bekerja dalam rumah, pastikan ia adalah tempat tetap kita bekerja supaya kita mudah fokus dan tidak terganggu dengan anasir luar. Macam Lisa sendiri ruang bekerja dari rumah Lisa dah tetapkan di meja dapur kerana di situ Lisa mudah untuk melihat apa yang anak sedang buat di ruang tamu dan mudah untuk mencapai makanan yang anak inginkan. maklumlah sejak perintah kawalan ini, anak selalu sangat lapar maka ibunya perlu sentiasa bersedia dengan makanan di tepi.



8. Kenal Pasti Masa Anda Yang Produktif


Untuk permulaan mungkin anda masih tidak pasti bila masa anda menjadi produktif, tetapi lama kelamaan anda sendiri dapat kenal pasti masanya. Ada setengah orang masa produktif mereka adalah di awal pagi, ketika itulah pelbagai idea akan datang dan masa itu keluarga masih nyenyak tidur. Tidak kurang juga ada setengah mengatakan masa produktif mereka adalah waktu tengah malam, ketika itulah mereka merasakan kerja dapat dibuat dengan lebih cepat tanpa gangguan.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada anda yang sedang mencari idea mahupun mendapatkan tips bekerja dari rumah supaya kekal produktif di musim PKP ini. Bersabarlah. InsyaALLAH setiap apa yang berlaku ketika ini, pasti ada hikmah besar yang ALLAH nak tunjuk walaupun ketika ini kita rasakan sangat susah dan sangat mencabar. Trust ALLAH's plan because He loves us so much.


1 comment:

Powered by Blogger.