Pengurusan Masa Buat Si Ibu


January 13, 2020
Bila dah jadi ibu kepada dua orang anak, Lisa mula rasa masa macam tak cukup je nak buat kerja itu ini. Rasa masa ni sangat cepat berlalu. Tau-tau je dah tengahari. Eh tiba-tiba dah petang. Pejam celik kemudian dah malam dan kita pun masuk tidur. Sebelum mata ni lelap, cuba imbau balik apa yang dah dibuat sepanjang hari ini. Rasa seperti ada perkara yang belum disempurnakan lagi. Rasa ada perkara yang masih tertinggal dan perlu dibuat. Habis tu, sepanjang hari ini kita buat apa sebenarnya. Lisa tak pasti adakah ibu-ibu juga rasa perkara yang sama seperti Lisa rasakan. Jika ya bermaksud kita berada dalam kasut yang sama. Mencari-cari masa untuk melakukan kerja masih berbaki. Mungkin kerja tersebut termasuklah soal pengurusan rumah, pengurusan anak-anak mahupun urusan kerjaya kita.



Kadang-kadang husband Lisa bila balik rumah, akan tanya

"Sayang hari ni buat apa kat rumah? Penat tak? Anak-anak ok?"

Bila suami tanya soalan macam tu, kadang-kadang Lisa tak tau nak cakap apa. Sebab rutin harian sebagai seorang surirumah adalah sama sahaja. Memasak, mengemas rumah, uruskan anak yang masih bayi, basuh kain dan sebagainya.

Sebelum Lisa jadi surirumah sepenuh masa, Lisa rasakan ibu-ibu surirumah pasti ada banyak masa di rumah. Sebab Lisa tengok ada ibu-ibu yang ada masa untuk sembang dengan jiran, menonton drama Melayu dan sebagainya. Cemburu juga tengok mereka sebab ada banyak masa untuk lakukan aktiviti tersebut. Tetapi bila Lisa sendiri sudah jadi surirumah sepenuh masa rupanya ia bukanlah mudah yang disangkakan. Seolah-olah kerja di rumah tidak pernah habis.

Rasanya baru sahaja kemas rumah, dah bersepah balik.
Rasanya baru semalam basuh baju, eh dah banyak balik baju kotor dalam bakul.
Rasanya baru sahaja masak untuk sarapan pagi untuk keluarga, eh dah kena masak untuk makan tengahari.

Sebenarnya, sebagai seorang ibu kita adalah tunjang keluarga dalam pengurusan masa dalam rumah dan seisi keluarga. Jika ibu tidak pandai pengurusan masa, kemungkinan banyak kesan negatif akan berlaku.

Bring my kids to the near park.


Nak tau antara kesannya apa?

Jika ibu sentiasa sibuk dengan kerjaya sehingga lupa memberi masa mendidik jiwa anak, maka anak akan mula memberontak.
Jika ibu terlalu sibuk dengan urusan rumah sehingga lupa memberi masa untuk mengajar anak tentang pengurusan diri, maka anak akan sukar berdikari.
Jika ibu terlalu sibuk dengan telefon sehingga lupa urusan rumah dan anak, maka mereka juga akan buat perkara yang sama kelak.

Sebab itulah ibu perlu tahu dan pandai bahagikan masa tidak kiralah sama ada masa untuk harian, mingguan mahupun bulanan. Ibu perlu tahu berapa banyak masa yang perlu dibahagikan untuk setiap perkara dalam hidup.

Lisa masih ingat lagi kisah Fatimah anak Rasulullah s.a.w yang mengadu kepada Nabi kerana beliau sangat penat dengan kehidupan hariannya dan meminta Rasulullah untuk memberinya hamba. Kemudian Rsulullah s.a.w membalas dengan mengatakan

 'Adakah engkau mahu aku ajarkan satu zikir yang lebih baik daripada seorang hamba iaitu zikirnya adalah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar. Dibacakan sebanyak 33 setiap hari dan selepas solat.'

Cubalah amalkan zikir ini wahai ibu, insyaALLAH banyak perkara dalam kehidupan harian kita ALLAH mudahkan tanpa kita sedar. Lisa juga tengah cuba didik diri untuk amalkannya.

Artikel berkaitan: 15 Cara 'Me Time' Buat Si Ibu 

Pengurusan masa yang Lisa kongsikan adalah berdasarkan pengalaman Lisa sendiri dan hasil pembacaan daripada beberapa sumber di internet. Jika ibu rasa ia mudah dan boleh dipraktikkan, segeralah lakukannya supaya ibu-ibu ada masa untuk melakukan semua perkara tersebut.

Perkara Yang Perlu Dilakukan(Kategori)


Sebelum ibu merancang untuk membahagikan masa, ibu perlu tahu dan fahami tentang diri sendiri. Sebab setiap ibu adalah berbeza. Kita tidak boleh samakan pembahagian masa kita dengan masa ibu yang lain adalah sama. Contohnya, ibu yang bekerjaya mempunyai keutamaan yang berbeza dengan ibu surirumah. Ibu yang mempunyai seorang anak berbeza dengan ibu yang mempunyai 5 orang anak. Ibu yang mempunyai suami yang suka menolong hal rumah berbeza dengan ibu yang mempunyai suami sentiasa sibuk dengan kerjanya. Tetapi perkara asasnya mungkin boleh dikategorikan seperti berikut:

Masa untuk hal rumah(Basuh baju, mengemas rumah, memasak dan sebagainya)
Masa untuk mengajar anak(Termasuklah hal fardhu ain,fardhu kifayah atau ilmu pembelajaran disekolah)
Masa untuk diri sendiri(Bersenam, mengaji, solat fardhu dan solat sunat)
Masa untuk bersosial(Berjumpa dengan rakan, menghadiri kursus penguran rumah, dengar ceramah di masjid)
Dan sebagainya....

Masa atau perkara ini anda perlu kenalpasti.

Kenalpasti Apa Keutamaan Anda

Ada sesetengah orang, sukar untuk melakukan kerja dengan baik disebabkan mereka tidak tahu apa keutamaan mereka. Menyebabkan kerja akan jadi tertangguh dan nampak tidak sempurna. Sebagai seorang ibu, anda perlu tahu apa keutamaan anda tidak kisahlah jika anda berada di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana. Apabila anda sudah letakkan perkara utama dalam hidup anda, maka apabila sesuatu keadaan yang berlaku anda boleh sudah tau cara untuk kendalikannya.

Mengenal pasti apa keutamaan anda sebagai seorang ibu, sangatlah penting. Jika perkara utama ini anda abaikan, maka anda akan mengalami kesukaran untuk membagikan masa untuk rutin harian mahupuan mingguan.

Perancangan Kunci Utama

Sebelum mata dipejamkan, ibu-ibu boleh merancang dan membayangkan apa yang ingin anda lakukan pada esok hari. Lebih bagus jika ibu ada planner yang boleh bantu ibu mencatat apa yang ingin dilakukan pada esok harinya. Apabila kita menulis perancangan kita, sekurang-kurangnya ia dapat mengingatkan perkara yang mungkin kita terlupa untuk dilakukan untuk hari berikutnya.

Planner book bukanlah dibuat hanya untuk mereka yang bekerjaya sahaja tetapi ibu-ibu yang duduk di rumah sahaja juga perlukan planner tersebut supaya dapat merancang dengan baik mengikut hari, tarikh dan masa yang diinginkan.

Perancangan yang sering dilakukan oleh si ibu termasuklah nak masak apa untuk hari berikutnya, aktiviti sekolah anak yang perlu kita tahu, apa yang ibu ingin lakukan untuk 'me time', dan sebagainya.

Jimatkan Masa

Zaman sekarang banyak barangan mahupun perkara yang boleh menjimatkan masa kita. Tidak seperti zaman ibu bapa atau nenek moyang kita dulu. Maksud Lisa bagi point ini adalah seperti mesin basuh yang boleh mengeringkan terus, air fryer dimana boleh menjimatkan masa untuk memasak lauk, dish washer yang boleh bantu basuh pinggan mangkuk kita dan sebagainya. Barangan elektrik ini sangat berguna bagi mereka yang merasakan tidak cukup masa untuk lakukan semua kerja rumah tersebut.

Mungkin ada yang mengatakan barangan tersebut agak mahal, tetapi kita boleh mulakan dengan menabung untuk membeli barangan tersebut. Ia boleh jimatkan banyak masa kita untuk lakukan kerja yang lebih penting dan utama.

Tidak Salah Mempunyai Pembantu Yang Sementara

Ada seorang sahabat Lisa memanggil pembantu untuk mengemas rumahnya seminggu atau dua minggu sekali. Pembantu tersebut akan mengemas rumah, mencuci tandas, mencuci perabot dan sebagainya. Bayaran yang dikenakan oleh pihak syarikat pembersih rumah tersbeut tidaklah mahal dan sangat berpatutan. Bagi Lisa sendiri cara ini juga bagus untuk ibu-ibu yang merasakan sangat penat untuk mengemas rumah. Anda mungkin mahu keadaan rumah sentiasa kemas dan bersih tetapi dek kengkangan masa membuatkan anda tidak mampu untuk lakukannya. Masa itulah yang terbaik untuk anda memanggil pembantu.

Supaya beban kerja di rumah dapat diringankan dan anda boleh fokus membuat kerja yang lain atau lakukan perkara utama yang anda telah tetapkan dari awal tadi.

Tak perlu rasa bersalah untuk memanggil pembantu, kerana kita ingin yang terbaik buat keluarga walaupun mungkin ada orang sekeliling mengatakan kita pemalas. Mereka tidak ada dalam situasi kita dan kita tahu apa yang terbaik buat diri dan keluarga.

Cari Masa Bukan Tunggu Masa

Sebagai seorang ibu, kita perlu pandai cari masa untuk lakukan sesuatu perkara bukannya tunggu masa yang sesuai baru mahu melakukannya. Apabila kita sentiasa cari masa, maka insyaALLAH masa itu akan ada. Sebagai contoh ibu yang bekerja dari rumah, anda perlu cari masa yang sesuai untuk membuat kerja atau bisnes dari rumah, bukannya tunggu masa yang sesuai baru mahu lakukannya.

InsyaALLAH sedikit perkongsian ini dapat beri ibu idea bagaimana untuk menguruskan masa anda seharian. Pengurusan masa yang baik akan memberi kesan emosi yang positif buat si ibu.

No comments:

Powered by Blogger.