3 Fasa Ini Yang Ibu Hamil Perlu Tempuhi

Pernah dengar tak, orang terdekat atau orang sekeliling kita bertanya tentang soalan ini,

"Awak sekarang first trimester atau second trimester dah?"

Jika ya, bermaksud anda sudah mula familiar dengan istilah fasa ibu hamil. Untuk pengetahuan anda yang pertama kali bakal menimang cahaya mata, fasa ibu hamil ini ada 3 fasa iaitu dalam bahasa Inggeris nya adalah

First trimester- Week 1- Week 13
Second trimester- Week 14- Week 28
Third trimester- Week 29- Week 40 



Setiap fasa akan berbeza perubahan yang akan dialami oleh ibu hamil sama ada dari segi perubahan fizikal, emosi, rutin harian dan sebagainya. Info di bawah dan sedikit pengalaman yang Lisa sendiri kongsikan semoga dapat beri rujukan dan manfaat kepada ibu hamil yang mungkin pertama kali melalui fasa-fasa ini. Berikut merupakan 3 fasa ini yang ibu hamil perlu tempuhi. 

Fasa Pertama

Fasa pertama adalah usia kandungan 1 minggu hingga 13 minggu. Pada fasa inilah anda akan perasan tentang period sama ada datang ataupun tidak. Ada yang lewat seminggu, ada yang lewat 2 minggu. Jika anda sudah perasan yang period anda sudah datang lewat, maka cepat-cepatlah cek upt untuk lihat tanda-tanda yang anda mungkin sedang mengandung. Jika ya, maka anda sudah boleh tersenyum dan bersyukur kepada Tuhan kerana Dia memberi peluang kepada anda untuk bergelar ibu dan bapa. Kebiasaannya pada fasa pertama, ibu hamil akan mula menunjukkan perubahan dari segi emosi dan hormon. Antara perkara yang sering berlaku adalah, morning sickness, mual, pening, cepat marah, emosi tidak stabil, mempunyai keinginan untuk makan sesuatu dan sebagainya lagi. Waktu ini, anda perlu jaga kesihatan dan banyakkan rehat. Kerana kemungkinan perubahan berat badan akan berlaku. Ada sesetengah ibu hamil, akan naik berat dan ada juga yang akan turun berat. Ia bergantung kepada tahap kesihatan dan diri ibu itu sendiri. Setiap ibu hamil akan mempunyai berbeza-beza perubahan ketika fasa pertama ini. 

Waktu Lisa mengandungkan anak pertama, Lisa tidak mengalami sebarang morning sickness atau kenaikan berat badan yang mendadak tetapi untuk anak kedua ini, Lisa mempunyai morning sickness yang teruk ketika fasa pertama. Setiap kali makan, mesti akan muntah. Setiap pagi, Lisa akan duduk dalam bilik air sahaja sebab selang berapa minit akan muntah. Berat badan sedikit turun ketika itu. 

Dan paling Lisa tak tahan adalah pening yang sangat teruk. Sampaikan nak berdiri untuk masak pun Lisa tak mampu. Waktu fasa pertama ni, suami isteri kena banyak bersabar dan suami perlu banyak tolong isteri untuk menghadapi dugaan ini dan isteri memang perlukan sokongan dari orang yang terdekat dengannya. 

Pada fasa ini juga, kemungkinan yang akan berlaku adalah sedikit darah akan keluar atau 'light spotting', ia adalah kerana berlakunya pelekatan telur yang telah disenyawakan tetapi jika anda nampak pendarah ini semakin banyak, lebih baik segera berjumpa dengan doktor untuk mendapat kepastian. 

Ada juga ibu yang mengalami keputihan yang banyak ketika fasa pertama. Oleh itu, anda perlu bertanyakan kepada doktor tentang faktor tersebut dan adakah ia memberi kesan kepada kandungan mahupun kepada ibu sendiri. 

Artikel berkaitan:


Fasa Kedua atau Fasa Pertengahan

Fasa kedua ini adalah di antara minggu 14 hingga minggu 28. Fasa ini, berat badan anda akan naik sedikit demi sedikit. Berdasarkan saranan doktor yang Lisa pernah jumpa ketika hamil, kenaikan berat badan yang bagus pada fasa ini adalah 0.5kg hingga 1kg sebulan. 

Pada fasa ini juga, morning sickness makin berkurangan. Memang betul sebab Lisa waktu anak kedua ni, morning sickness yang sangat teruk hanya pada fasa pertama sahaja dan bila dah masuk fasa kedua, morning sickness makin berkurang dan bila usia kandungan sudah mencecah 5 bulan, terus morning sickness tiada. 

Perubahan dari segi fizikal juga akan kelihatan seperti perut semakin naik kerana bayi dalam kandungan semakin membesar. Bgai ibu hamil yang pertama kali, anda pasti rasa teruja dan pada masa yang sama rasa sedikit janggal dengan perubahan tersebut. Waktu ini, ibu hamil sudah mula perlu memilih baju yang sesuai untuk dipakai. Jangan terlalu ketat kerana takut memudaratkan kesihatan bayi di dalam. 

Emosi ketika fasa kedua ini semakin boleh dikawal berbanding fasa pertama kerana masa ini ibu hamil sudah kurang rasa morning sickness. Tetapi kemungkinan ibu hamil akan rasa sedikit penat dan lesu disebabkan perubahan fizikal yang berlaku. 

Fasa Ketiga atau Fasa terakhir

Fasa ketiga atau fasa terakhir ini adalah di antara minggu 29 hingga minggu 40. Ada ibu hamil yang mengatakan fasa ketiga ini merupakan fasa yang memang sangat mencabar dan Lisa sangat bersetuju dengan pendapat ibu hamil yang lain kerana fasa ini banyak perubahan fizikal, emosi dan rutin harian juga akan berubah. Antaranya, jadual temujanji dengan Klinik kesihatan akan semakin kerap iaitu 2 minggu sekali dan berat badan disarankan untuk naik di antara 0.5 hingga 1kg dalam masa 2 minggu. 

Pada fasa ini, ibu hamil akan merasai tidur yang tidak lena dan tidak selesa kerana perut semakin membesar dengan jayanya dan pada masa yang sama sakit pinggang, kaki sedikit membengkak juga mungkin akan dialami. Postur badan ibu hamil sedikit berubah. 

Bayi dalam kandungan juga akan aktif bergerak dan menendang menyebabkan ibu hamil akan rasa cepat letih dan penat. Selain itu, perubahan kenaikan berat badan juga akan mempengaruhi tahap kecergasan ibu hamil. 

Dinasihatkan pada fasa ini, ibu hamil perlu banyakkan rehat dan perlu kurangkan kerja-kerja berat. 

Artikel berkaitan:


Setiap fasa di atas, ibu hamil mungkin akan alaminya. Setiap anak akan berbeza perubahan yang dirasai bagi setiap fasa. Ibu hamil perlu terima setiap perubahan dan melalui fasa-fasa ini dengan hati yang terbuka. Jangan terlalu stress untuk melaluinya. Jika ibu hamil rasa sedikit stress, jangan lupa kongsikan masalah tersebut dengan orang yang tersayang dan minta nasihat dari nurse atau doktor.

Ketika Lisa melalui setiap fasa ini pada pertama kali menjadi ibu, memang Lisa rasa sedikit janggal dan sedikit stress kerana ia merupakan fasa baru dalam kehidupan Lisa. Maka Lisa cuba mencari penyelesaian dengan berkongsi dengan orang sekeliling yang rapat dan pernah melalui fasa ini untuk berkongsi pengalaman mereka dan bagaimana mereka handle the situation. Dan pada masa yang sama Lisa banyak sertai facebook group ibu mengandung untuk mendapatkan info dari mereka yang sudah berpengalaman dan kita belajar dari mereka. 

Dan Lisa juga membaca buku mengenai persediaan ibu hamil dan bagaimana melalui fasa-fasa ini supaya kita tidak rasa terkejut dengan perubahan fizikal dan emosi bagi setiap fasa tersebut.

Lisa faham bagi ibu hamil yang pertama kali akan teruja menanti cahaya mata yang pertama tetapi pada masa yang sama perlu melalui fasa-fasa berikut, maka bersabarlah InsyaALLAH ALLAH akan beri ganjaran yang banyak kepada ibu. 

Lisa doakan supaya ALLAH permudahkan urusan ibu sekalian untuk mudah bersalin dan sihat ibu anak. Doakan Lisa juga ye yang sedang menanti minggu dan hari untuk bersalin untuk anak kedua ini. Semoga ALLAH merahmati kita sebagai seorang ibu dan wanita. 






No comments:

Post a Comment